MARDI sasar 30 hektar tanaman ubi keledek V8 di seluruh negara tahun depan – Dr.Sanimah

INSTITU Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan penanaman varieti baharu ubi keledek V8 seluas 30 hektar di seluruh negara pada 2027, sekali gus membuka peluang kepada pengembangan tanaman berpotensi hasil tinggi dan bernilai tambah dalam industri agromakanan negara.

Ketua Pengarahnya  Dr Sanimah Simoh berkata, usaha mencapai sasaran itu kini memasuki peringkat penyediaan bahan tanaman, khususnya pengeluaran sulur bagi memenuhi keperluan petani yang berminat mengusahakan varieti berkenaan.

Menurutnya, ubi keledek V8 mempunyai beberapa kelebihan berbanding varieti sedia ada, termasuk potensi hasil yang tinggi, ketahanan terhadap penyakit serta keupayaan tumbuh dengan baik di kawasan tanah beris dan bermineral.

“Tanaman ubi keledek V8 ini mempunyai kelebihan kerana hasilnya tinggi iaitu dapat menghasilkan ubi keledek sebanyak satu kilogram bagi setiap satu sulur. Tanaman ini juga mempunyai ketahanan daripada penyakit dan ia sesuai ditanam dan hidup subur di tanah beris serta tanah bermineral,” katanya selepas lawatan kerja ke Plot Varieti Baharu Ubi Keledek V8 di MARDI Bachok, hari ini.

Pembangunan varieti V8 merupakan hasil penyelidikan Pusat Penyelidikan Tanaman Industri MARDI yang dimulakan pada 2021 menerusi peruntukan RM300,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Penyelidikan itu melibatkan pengumpulan dan penilaian kira-kira 40 aksesi germplasma ubi keledek sebelum lima varieti elit, iaitu VitAto, Pejabat, B1, Karak Bakar dan Tanjung Sepat, dipilih sebagai bahan induk bagi proses pembaikbakaan.

Menerusi penggunaan teknologi aruhan sinaran gama serta proses pemilihan secara berperingkat, MARDI berjaya menghasilkan klon V8 yang menunjukkan prestasi hasil, kualiti dan kestabilan tanaman yang baik.

Dari segi produktiviti, varieti berkenaan berpotensi menghasilkan lebih 26 tan metrik sehektar dengan tempoh kematangan sekitar 90 hari selepas penanaman. Tempoh kematangan yang lebih singkat berbanding sesetengah varieti sedia ada membolehkan petani merancang pusingan tanaman dengan lebih cepat, selain berpotensi meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kos pengurusan tanaman.

Keistimewaan lain V8 ialah kandungan beta-karotena yang tinggi, iaitu sebanyak 2.138 miligram bagi setiap gram berat segar, sekali gus menjadikannya berpotensi sebagai sumber provitamin A untuk penghasilan makanan yang lebih berkhasiat.

Dari segi fizikal, ubi keledek V8 mempunyai bentuk yang lebih seragam, kulit luar berwarna oren kemerahan dan isi berwarna oren pekat dengan permukaan licin serta bersih.

Ciri tersebut bukan sahaja menjadikannya sesuai untuk pasaran segar, malah berpotensi dimanfaatkan oleh industri pemprosesan makanan bagi menghasilkan puri, tepung, makanan bayi dan pelbagai produk makanan bernilai tambah.

Sanimah berkata, ubi keledek mempunyai permintaan luas di seluruh negara, khususnya bagi penghasilan pelbagai produk makanan termasuk kerepek.

Pada masa ini, keluasan tanaman ubi keledek pelbagai varieti di seluruh negara dianggarkan 32,000 hektar, dengan Kelantan menyumbang kira-kira 16,000 hektar daripada jumlah berkenaan.

Pengembangan varieti V8 dijangka memberikan pilihan baharu kepada petani untuk meningkatkan hasil pengeluaran, selain membuka peluang kepada industri pemprosesan tempatan mendapatkan bekalan bahan mentah yang mempunyai ciri kualiti dan nutrisi lebih baik.

Ketika ini, varieti V8 berada pada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 5 hingga 6 selepas melalui penilaian agronomi, hasil dan kualiti nutrisi di lapangan, sekali gus menunjukkan potensinya untuk demonstrasi pada skala prapengkomersial.

MARDI akan meneruskan usaha penyediaan bahan tanaman dan pengembangan teknologi bagi memastikan hasil penyelidikan itu dapat dimanfaatkan oleh petani serta pemain industri, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti dan pembangunan sektor agromakanan negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here