MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan RM3,000 kepada penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.
Beliau berkata pembayaran bantuan kepada 5,031 penjawat awam itu akan dibuat secara berperingkat, iaitu pada Disember ini serta Februari dan Ogos tahun hadapan.
“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dengan jentera pentadbiran ialah kunci kejayaan kita dalam membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini.
“Sebagai menghargai usaha keras ini, sukacita diumumkan kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini ialah RM15 juta,” katanya.
Muhammad Sanusi mengumumkan pemberian bantuan khas itu semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Alor Setar.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang meluluskan sejumlah peruntukan untuk negeri itu dalam pengumuman Belanjawan 2027 baru-baru ini.
Muhammad Sanusi berkata antara yang diluluskan adalah bagi menaik taraf Medan Selera Keluncur, di Taman Rekreasi Laut Kuala Kedah di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Beliau berkata peruntukan lain adalah untuk kemudahan prasarana tapak warisan yang berpotensi diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Lembah Bujang dan pelaksanaan Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Ini disokong oleh kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah yang sedang berjalan mengikut jadual, dan projek pemulihan Empangan Pedu yang dijangka siap pada penghujung 2027,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata cabaran ekonomi global akibat ketegangan politik dan perdagangan akan terus dihadapi pada 2027 dan perubahan struktur ekonomi dunia menuntut setiap negara dan wilayah memperkukuh daya saing masing-masing.
Beliau berkata struktur ekonomi Kedah yang tertumpu kepada sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, khususnya industri berorientasikan eksport, menyebabkan ekonomi negeri turut terdedah kepada perubahan pasaran global.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri akan terus membina ekonomi yang berdaya tahan, bukan sahaja ketika ekonomi global berkembang baik, malah ketika menghadapi kejutan ekonomi dan perubahan struktur dunia,” katanya.





