PH perlu keluar daripada bayangan DAP, perkukuh PKR dan Amanah – penganalisis

PAKATAN Harapan (PH) perlu mengurangkan kebergantungan kepada DAP sebagai penyumbang utama kemenangan pilihan raya, sebaliknya memberi tumpuan memperkukuh kekuatan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi memastikan gabungan itu kekal berdaya saing menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, keputusan tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memperlihatkan ketidakseimbangan kekuatan antara parti komponen PH, apabila sebahagian besar kemenangan gabungan itu disumbangkan DAP.

PROF Madya Dr Mashitah Mohd Udin

Menurutnya, keadaan itu memberi gambaran bahawa PH mungkin menyedari kekuatan sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menghadapi PRU-16, sekali gus mendorong keperluan mendapatkan kerjasama parti lain bagi memperluas sokongan pengundi.

“PH sememangnya sebuah gabungan parti politik, jadi apabila Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap mengenai kerjasama antara gabungan, beliau perlu menjelaskan maksudnya.

“Adakah PH sekadar mahu menyelaras pertandingan dengan parti di luar gabungan atau sedang mencari rakan baharu untuk mengukuhkan sokongan Melayu?” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Mashitah berkata, di Johor, DAP menyumbang enam daripada lapan kerusi PH, manakala PKR dan Amanah masing-masing hanya memenangi satu kerusi.

Di Negeri Sembilan pula, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi PH, sementara PKR memperoleh dua kerusi dan Amanah gagal memenangi sebarang kerusi.

Di Melaka, kesemua empat kerusi PH dimenangi DAP, manakala PKR dan Amanah sekali lagi gagal memperoleh kemenangan.

“Secara keseluruhan, DAP menyumbang 19 daripada 23 kerusi PH dalam tiga PRN itu, sedangkan PKR dan Amanah hanya menyumbang empat kerusi.

“Ini menunjukkan PH masih berdepan masalah untuk membina daya saing di kawasan yang menjadi tumpuan pengundi Melayu,” katanya.

Mengulas dakwaan Amirudin bahawa sokongan pengundi Melayu dan golongan muda terhadap PH meningkat di Melaka, Mashitah berkata, Menteri Besar Selangor itu perlu memperincikan sejauh mana peningkatan itu berlaku, termasuk kawasan yang mencatat perkembangan berkenaan serta asas penilaian yang digunakan.

Katanya, keputusan kerusi semata-mata tidak menggambarkan pola pengundian mengikut kelompok masyarakat, justeru dakwaan peningkatan sokongan perlu disokong data yang lebih jelas.

“Jika Amirudin mengatakan sokongan pengundi Melayu dan anak muda meningkat di Melaka, beliau wajar menyatakan berapa besar peningkatan itu, di kerusi mana ia berlaku dan apakah asas anggarannya.

“Satu perkara yang jelas adalah PKR dan Amanah masih gagal menterjemahkan peningkatan yang didakwa itu kepada satu pun kemenangan di Melaka,” katanya.

Mengenai kemungkinan kerjasama politik menjelang PRU-16, Mashitah berkata, PH perlu mempertimbangkan rakan yang mampu membantu memulihkan daya saingnya di kerusi majoriti Melayu, termasuk meneroka ruang kerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, PH perlu menilai kemampuan Bersatu membawa sokongan pengundi memandangkan parti itu sendiri gagal memenangi sebarang kerusi di Melaka dan Negeri Sembilan, malah calonnya kehilangan wang deposit di hampir semua kerusi yang ditandingi.

Beliau turut melihat kemungkinan PH mendekati Pas sebagai satu lagi pilihan politik, meskipun parti itu ketika ini bekerjasama dengan UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka.

“Jika PH terus bergantung kepada DAP untuk memenangi sebahagian besar kerusinya sedangkan PKR dan Amanah gagal kembali bersaing di kerusi majoriti Melayu, prospek PH pada PRU-16 amat suram.

“Amirudin perlu menjawab dengan terus terang siapa rakan yang mahu didekati dan bagaimana kerjasama itu dapat membantu PH memenangi kerusi yang kini gagal ditawan oleh PKR dan Amanah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here