PRN Melaka: PH sedia berdepan pelbagai senario termasuk bertanding solo

PAKATAN Harapan (PH) giat mempersiapkan jentera untuk menghadapi pelbagai senario pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk kemungkinan bertanding tanpa kerjasama dengan gabungan lain.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai kerjasama antara PH dengan Barisan Nasional (BN) diadakan bagi menghadapi PRN berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, rundingan rasmi dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi menghadapi PRN Melaka masih belum diadakan bagi menentukan sebarang bentuk kerjasama.

“PH akan membuat persediaan dalam pelbagai situasi dan keadaan itu maknanya adakah keadaan seperti di PRN Johor atau Negeri Sembilan, atau situasinya berbeza,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Milikan Kosong (VP) NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Sepang hari ini.

Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan lalu, PH bertanding secara solo.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, PH juga akan mengadakan perbincangan dalaman dalam satu atau dua hari akan datang bagi menentukan langkah khusus bakal diambil bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen lazimnya boleh berlarutan sehingga menjelang hari penamaan calon, namun PH bersedia mengambil langkah lebih awal sekiranya keadaan memerlukan.

Pada 25 Ogos lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Amirudin diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN, termasuk agihan kerusi pada PRN Melaka akan datang.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRN Melaka ke-15, BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 kerusi, diikuti PH dengan lima kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi.

Mandat kerajaan negeri Melaka akan tamat pada 31 Disember depan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here