Dua bekas eksekutif kanan anak syarikat Tabung Haji mengaku salah pecah amanah

DUA  bekas eksekutif kanan syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  hari ini, atas tiga pertuduhan pindaan melakukan pecah amanah dan bersubahat wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.

Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad, 56, dan bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

THP Bina Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd (anak syarikat Lembaga Tabung Haji), yang menumpukan kepada bidang pembinaan dan pengurusan projek.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memberitahu mahkamah bahawa terdapat pindaan pada ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi dua lelaki itu.

Pindaan itu membabitkan ayat “dengan tidak menyerahkan wang tersebut kepada THP Bina Sdn Bhd” yang sebelum ini “dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun Nasahruddin”, dalam ketiga-tiga pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Nasahruddin sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan syarikat itu, yang diamanahkan wang hasil kutipan penalti ke atas kontraktor iaitu syarikat Fourth Wave Sdn Bhd berjumlah RM72,000, didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang berkenaan kepada THP Bina Sdn Bhd.

Wang hasil kutipan penalti itu membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Presint 3 Wilayah Persekutuan Putrajaya, melibatkan beberapa tingkat pejabat di Blok A, B, C dan D, sebuah auditorium dan tempat letak kereta bawah tanah untuk Tetuan THP Bina Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Islam Putrajaya di Presint 3 antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015, yang mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tengku Kamarolhisham berhadapan tiga pertuduhan pindaaan bersubahat, dengan mengarahkan Nasahruddin untuk tidak menyerahkan wang berkenaan kepada THP Bina Sdn Bhd pada tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama-sama Seksyen 409 kanun sama.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua lelaki itu diwakili peguam Fahmi Abd Moin dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 17 Dis untuk serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here