Pengunduran Ismail mampu akhiri krisis Negeri Sembilan

SEMALAM melalui Facebook beliau, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim  menyiarkan gambar beliau mempengerusikan Mesyuarat Panel Pelulus Program Rumah Harapan Rakyat (RHR) Negeri Sembilan Bil. 02/2026 di Ibupejabat PKNNS dan  Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan Bil. 4/2026 di Wisma Negeri.

Bagaimanapun sebelah malamnya atau malam tadi, Setiauaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir membuat kenyataan mengumumkan Ismail meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

ADUN Juasseh itu menyerahkan surat meletak jawatan itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ia bermakna peletakan jawatan itu berlaku 48 jam selepas beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 September 2026 berhubung kedudukan Tuanku Muhriz .

Kebetulan pada 17 September lalu, dalam satu artikel  penulis telah menyarankan kepada Ismail untuk berundur daripada jawatan itu selepas Peguam Negara sudah memutuskan bahawa pemecatan 10 Exco Kerajaan Negeri yang dibuat oleh Tunku Muhriz adalah sah dan Proklamasi tidak sah.

Penulis tahu kedudukan Ismail ‘sudah tidak selesa lagi’ kerana sejarah politik negara telah membuktikan tiada mana-mana kerajaan negeri khususnya Menteri besar atau Ketua Menteri yang ‘akan terselamat’ jika berhadapan krisis dengan istana.

Bagaimanapun Ismail masih terus mahu bertahan sehinggakan beliau ‘mencatatkan sejarah ‘sebagai Menteri Besar pertama di negara ini menjalankan tugas tanpa barisan Exco Kerajaan Negeri selama tiga bulan tetapi akhirnya mencatatkan rekod sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan paling singkat dalam sejarah  iaitu tiga bulan (106 hari).

Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini ialah  Tan Sri Rais Yatim12 Julai 1978 – 29 April 1982 (3 tahun, 9 bulan) , Tan Sri  Mohd Isa Abdul Samad (29 April 1982 – 25 Mac 2004 (21 tahun, 10 bulan),  Datuk Seri Mohamad Hasan              25 Mac 2004 – 10 Mei 2018   (14 tahun, 1 bulan)  Datuk Seri Aminuddin Harun12 Mei 2018 – 17 Julai 2026 (8 tahun, 2 bulan) .

Walaupun Ismail dilihat cuba bertahan dengan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar tanpa bantuan exco-exco, namun akhirnya beliau terpaksa akur bahawa perjuangan tersebut tidak akan ke mana.

Tidak kiralah sama ada Ismail dipaksa, terpaksa atau memaksa mengundur diri apa yang penting, kesediaan beliau berbuat demikian sudah pastinya akan membuka jalan bagi menamatkan krisis Negeri Sembilan yang sudah berlanjutan sejak tiga bulan lalu.

Cukuplah..biarlah pengunduran Ismail dianggap penutup kepada episod meresahkan di Negeri Sembilan. Hubungan antara Kerajaan Negeri dan Istana perlu dipulihkan. Agenda untuk rakyat harus dilaksanakan dan perancangan bagi memakmurkan negeri harus dijalankan.

Siapapun  yang diperkenankan untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan perlu memahami tanggungjawab besar yang terpikul di bahunya. Sebarang perubahan kepemimpinan tidak seharusnya menyebabkan urusan pentadbiran, pembangunan ekonomi, pelaburan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus tertangguh.

Rakyat Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang dapat berfungsi dengan sempurna, bukannya terus terheret dalam pertikaian politik dan Perlembagaan yang tidak  berkesudahan.

Kepada Ismail , mungkin beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar tetapi  perjuangan untuk rakyat belum berakhir kerana beliau masih ADUN Juasseh yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri  (PRN) pada 1 Ogos lalu. Kedudukan ini harus dihormati.

Kepada Menteri Besar baharu dan barisan exconya selamat bertugas. Pastikan tiada apa-apa lagi kemelut atau krisis yang berlaku sehingga memungkinkan Negeri Sembilan ‘berantakan’. Tunaikan mandat diberikan oleh rakyat dengan sebaik-baiknya dan peliharalah hubungan dengan Istana.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here