SERAMAI 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan antara dua kumpulan di Pasar Bandar Ramai-Ramai, Sandakan, malam tadi.
Kesemua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan pada jam 7.36 malam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan kemudian menahan semua individu yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.
“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua kumpulan.
“Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Video kejadian berkenaan turut tersebar di media sosial sejak malam tadi.
George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.





