TIMBALAN Presiden AMANAH Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengingatkan Pakatan Harapan (PH) apa yang berlaku di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah satu pengajaran politik yang tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu melalui hantaran dalam Facebook beliau Dr Mujahid menggariskan tiga paradoks yang berlaku dan memberi pandangan apa tindakan yang perlu dilaukan oleh PH.
Berikutan tulisan beliau dalam hantaran tersebut:
KEPUTUSAN PRN Melaka pada 14 November lalu memberikan pengajaran politik yang tidak boleh dipandang ringan. BN mengekalkan 21 kerusi, PN memperoleh tiga kerusi, manakala PH hanya mempertahankan empat kerusi.
Lebih menyedihkan bagi AMANAH ialah kehilangan Bukit Katil, kerusi yang dipertahankan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Kekalahan ini mesti diterima dengan hati terbuka. Namun, persoalan yang lebih besar ialah mengapa pencapaian Kerajaan MADANI, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agenda reformasi belum diterjemahkan kepada sokongan pilihan raya yang setara? Inilah yang saya namakan Paradoks Melaka…
Paradoks Pertama: Bantuan dirasai, undi tidak semestinya diberi
Kerajaan MADANI telah memperkenalkan dan memperluas pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar RON95.
Rakyat Melaka turut menikmati manfaat dasar Persekutuan ini. Namun, penerimaan bantuan tidak semestinya menghasilkan sokongan terhadap parti yang menerajui kerajaan. Mengapa?
Kerana rakyat mungkin menerima bantuan tetapi masih merasakan tekanan kos sara hidup. Bantuan mengurangkan beban, tetapi tidak semestinya menghilangkan keresahan tentang harga barang, pendapatan dan masa depan keluarga.
Kerajaan MADANI menjadi mangsa untuk mereka luahkan segala kesusahan ini. Malangnya BN yang menjadi kerajaan di peringkat persekutuan mengambil peluang ini di peringkat negeri menadah undi protes ini.
Lebih penting, rakyat boleh menghargai sesuatu dasar tanpa menganggap mereka mempunyai kewajipan politik kepada kerajaan yang melaksanakannya. Manfaat ekonomi isi rumah dan sokongan pilihan raya ialah dua ukuran yang berbeza seperti yang ditunjukkan di Melaka dan sebelumnya Johor dan Negeri Sembilan.
Paradoks Kedua: Kepimpinan diiktiraf tetapi kepercayaan politik berbeza
Prestasi PMX dalam pentadbiran negara, reformasi institusi dan hubungan antarabangsa menjadi sebahagian daripada rekod kejayaan Kerajaan MADANI.
Namun, penilaian terhadap Perdana Menteri tidak semestinya sama dengan penilaian terhadap calon PH dalam pilihan raya negeri.
Kajian awal ILHAM Centre menunjukkan penerimaan tinggi terhadap pentadbiran negeri Melaka. Program turun padang, penyelesaian masalah setempat dan hubungan langsung dengan rakyat turut mempengaruhi penilaian terhadap kerajaan negeri.
Ini adalah loceng amaran kepada PH, bahawa kejayaan di Putrajaya dan pengalaman rakyat di kawasan masing-masing merupakan dua dimensi politik yang berbeza. Aktivis dan pempengaruh PH tidak boleh ‘berkhayal’ dengan PMX mendunia, tetapi perlu turun ke bawah merasa denyut nadi masyarakat marhaen di bawah dan menyelesaikannya.
Paradoks Ketiga: Politik nilai berdepan politik identiti
PH memperjuangkan politik berasaskan nilai melalui gagasan MADANI dan Politik Rahmah. Amanah, Keadilan, Integriti, Kesederhanaan serta Hormat terhadap kepelbagaian merupakan prinsip yang ingin diterjemahkan dalam pemerintahan. Namun, politik Malaysia masih kuat dipengaruhi identiti kaum, agama dan hubungan komuniti.
Kerjasama BN-PN di Melaka memperlihatkan bagaimana penyelarasan pertandingan dan jaringan politik Melayu-Islam boleh menjadi faktor penting. Kajian ILHAM Centre turut mengenal pasti kekuatan jentera UMNO dan PAS serta kesediaan penyokong kedua-dua gabungan untuk menyokong calon satu sama lain.
Ini bukan bermakna pengundi Melayu menolak nilai keadilan atau integriti. Sebaliknya, seseorang pengundi boleh bersetuju dengan sesuatu prinsip yang mulia tetapi masih membuat pilihan berdasarkan identiti, kepercayaan terhadap parti dan pengalaman hidupnya. Identiti memberikan rasa kebersamaan dan pada tahap ekstrimnya melahirkan ketaksuban.
Nilai memberikan ukuran bagaimana kuasa sepatutnya digunakan. Kedua-duanya tidak semestinya bercanggah antara satu sama lain pada kacamata pendokong politik identiti.
Mengapa isu rasuah dan salah urus tidak menjadi penentu?
Kontroversi Tabung Haji, FELDA, rasuah dan persoalan tadbir urus sering menjadi perbahasan nasional. Namun, isu yang besar di peringkat nasional tidak semestinya menjadi pertimbangan utama setiap pengundi.
Sebahagian mungkin lebih mengutamakan kestabilan, perkhidmatan tempatan dan ekonomi keluarga. Ada juga yang membezakan kesalahan individu daripada prestasi keseluruhan sebuah parti.
Kita tidak boleh menyimpulkan bahawa pengundi menerima amalan rasuah dan penyelewengan hanya kerana mereka memilih parti yang pernah berdepan dengan kontroversi sakau.
Tetapi satu prinsip mesti dipertahankan: rasuah tetap salah tanpa mengira siapa pelakunya. Amanah awam tidak boleh dikompromikan atas nama kaum, agama atau kesetiaan politik.
Cabarannya ialah bagaimana memahamkan rakyat bahawa parti yang mereka sokong adalah sebahagian daripada faktor sistemik yang menyumbang kepada amalan rasuah dan penyelewengan harta awam.
Pengajaran Brazil, Amerika Syarikat dan Malaysia
Pengalaman pilihan raya Brazil dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa perubahan sokongan tidak hanya dipengaruhi pencapaian kerajaan. Kos sara hidup, keyakinan terhadap kepimpinan, identiti sosial dan pengalaman ekonomi memainkan peranan penting.
Malaysia mempunyai kerumitan tersendiri. Identiti etnik dan agama berinteraksi dengan faktor kelas, wilayah, generasi serta hubungan masyarakat dengan parti politik. Oleh itu, kita tidak boleh membaca keputusan Melaka hanya melalui satu faktor, apatah lagi menganggap semua pengundi Melayu mempunyai pemikiran yang seragam.

Muhasabah PH dan AMANAH
Kekalahan Bukit Katil menuntut muhasabah yang mendalam. Adly Zahari mempunyai pengalaman pentadbiran dan rekod kepimpinan yang baik. Namun, keputusan pilihan raya membuktikan bahawa ketokohan individu dan pencapaian terdahulu tidak dengan sendirinya menjamin kesinambungan sokongan. Perkara yang sama berlaku kepada YB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Bin Harun, mantan MB Negeri Sembilan.
PH perlu menilai dengan terbuka keberkesanan organisasi, hubungan akar umbi, komunikasi dasar dan tahap kepercayaan masyarakat terhadap gabungan PH terdiri dari PKR, AMANAH dan DAP. Gerak kerja seragam dan keserasian membawa naratif berkesan perlu diperbaiki dan disegerakan.
AMANAH pula perlu terus meneliti bagaimana falsafah Politik Rahmah diterjemahkan dalam pengalaman sebenar rakyat, bukan sekadar melalui ucapan dan slogan. Politik Rahmah perlu diinstitusikan dalam komunikasi akar umbi dan program parti bersama rakyat.
Kita juga perlu memahami bahawa perubahan undi boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk penyelarasan BN-PN, kadar keluar mengundi dan penilaian terhadap pentadbiran negeri. Parti AMANAH perlu berlapang dada melihat ke dalam kelemahan-kelemahan di peringkat organisasi akar umbinya dan tidak boleh hanya mengharapkan kejayaan dasar MADANI untuk meraih undi. Organisasi kawasan dan cawangan serta kepimpinan lokal perlu berkesan dan mampu melebarkan pengaruh akar umbi.
Antara Identiti, nilai dan masa depan
Melaka memberikan pengajaran bahawa bantuan tidak semestinya menghasilkan sokongan, pencapaian tidak semestinya melahirkan kepercayaan, dan persetujuan terhadap nilai tidak semestinya menentukan pilihan parti. Itulah tiga paradoks yang perlu difahami.
Namun, pilihan raya bukan sekadar persoalan siapa menang dan siapa kalah. Ia juga ruang untuk menilai mutu demokrasi, tanggungjawab kepimpinan dan masa depan negara.
Terkhusus Politik Rahmah yang digagaskan oleh parti AMANAH, ia mengingatkan kita bahawa identiti Melayu-Islam boleh berjalan seiring dengan keadilan, amanah, kesederhanaan dan penghormatan terhadap masyarakat majmuk. Inilah cabaran besar AMANAH untuk meyakinkan para pengundi Melayu, bahawa menyokong AMANAH dan PH bukan meninggalkan Melayu-Islam yang menjadi tonggak kepada politik tanahair.
“Maruah Melayu tidak hanya diukur melalui siapa yang memegang kuasa, tetapi juga melalui bagaimana kuasa itu dilaksanakan dengan amanah dan adil”
Bagi PH dan AMANAH, Melaka bukan alasan untuk meninggalkan prinsip. Ia adalah kesempatan untuk menilai semula hubungan antara prinsip yang diperjuangkan dengan kesanggupan masyarakat menterjemahkannya melalui undi.
Akhirnya, rakyat bukan sekadar mahu mendengar tentang perubahan. Mereka mahu melihat, merasa dan mempercayainya.





