MALAYSIA berhasrat membangunkan keupayaan menyeluruh dalam rantaian nilai industri nadir bumi, termasuk aktiviti pemprosesan, penghasilan bahan termaju, pembuatan magnet dan kitar semula.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia mengalu-alukan kepakaran serta pelaburan syarikat Perancis bagi membantu membangunkan keupayaan industri berkenaan.
“Kita mengalu-alukan kepakaran dan pelaburan Perancis yang dapat membantu membangunkan keupayaan ini, sambil memastikan aspek perlindungan alam sekitar dan amalan mampan terus menjadi teras pembangunan industri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Perancis yang turut dihadiri Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Buletin TV3.
Johari berkata, sektor aeroangkasa turut mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama kedua-dua negara, memandangkan Malaysia sudah mempunyai keupayaan dalam bidang struktur pesawat, komposit termaju, kejuruteraan jitu serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
“Syarikat aeroangkasa Perancis memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan ini. Bagaimanapun, masih terdapat peluang untuk Malaysia meneroka lebih jauh aktiviti bernilai tinggi seperti kejuruteraan termaju, reka bentuk dan penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama Malaysia-Perancis juga boleh diperluas dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, menerusi gabungan kepakaran teknologi Perancis dengan kekuatan Malaysia dalam infrastruktur digital dan pembuatan semikonduktor.





