Anggota polis putus tangan dipertimbang naik pangkat medan

ANGGOTA polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, 11 November lalu, sedang dipertimbangkan untuk menerima kenaikan pangkat medan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan keberaniannya.

Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, kini dalam proses dokumentasi yang diuruskan melalui kontinjen Selangor.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail turut menyuarakan pertimbangan bagi kenaikan pangkat berkenaan.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail juga sudah menyuarakan pertimbangan kenaikan pangkat medan untuk Lans Koperal Thierry,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Menurut Noor Hisam, pihak polis turut menguruskan dokumentasi bagi menentukan kelayakan Thierry menerima bantuan daripada tabung pahlawan atau wira serta bayaran ex gratia.

Katanya, pihaknya juga akan memproses kelayakan lain termasuk kemungkinan penganugerahan pingat kepada anggota berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan terus memberikan sokongan moral serta bantuan kebajikan kepada Thierry yang menunjukkan semangat tinggi meskipun mengalami kecederaan serius.

Katanya, Thierry merupakan contoh anggota barisan hadapan yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan kecekapan ketika berdepan situasi berbahaya.

Mengulas kejadian itu, Noor Hisam berkata, Thierry masih mampu mengawal keadaan dan mengarahkan individu di sekelilingnya berlindung walaupun mengalami kecederaan parah.

Jelasnya, tindakan itu membuktikan anggota berkenaan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi genting.

Dalam kejadian 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here