KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh latihan penyelidik bagi memastikan integriti penyelidikan menjadi amalan dan tanggungjawab bersama semua pihak dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata integriti penyelidikan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai nilai peribadi, sebaliknya perlu diterapkan dalam tadbir urus dan budaya harian setiap institusi pendidikan tinggi (IPT), termasuk menerusi pemantapan latihan penyelidik.
“Visi semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya integriti perlu diterapkan dalam tadbir urus dan budaya harian setiap kampus,” menurutnya dalam teks ucapan perasmian sesi meja bulat bertajuk Leading Research Integrity in the Age of AI: An Academic Leaders’ Roundtable bersempena dengan Festival Idea (FOI) Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Zambry berkata bukti menunjukkan bahawa integriti penyelidikan bukan sekadar nilai individu, sebaliknya tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh penyelidik, institusi, editor, penilai, pemberi dana dan pembaca.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 meletakkan integriti penyelidikan sebagai teras Anjakan 6, iaitu Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi yang Bertanggungjawab.
Kerajaan juga akan mengemas kini Kerangka Etika Pendidikan Tinggi serta memperhalusi garis panduan etika akademik bagi melengkapkan pelajar, ahli akademik dan pemimpin institusi dengan pengetahuan serta kemahiran untuk menangani dilema etika yang semakin kompleks.
“Secara khusus, latihan dan pematuhan berteraskan Kod Malaysia bagi Amalan Penyelidikan Bertanggungjawab akan menetapkan piawaian yang jelas dan tidak mengelirukan untuk setiap penyelidik di negara ini,” menurutnya.
Dalam pada itu, Zambry berkata Malaysia kini menduduki tempat keenam dunia dari segi kadar penarikan balik artikel penyelidikan yang diterbitkan, dengan mencatatkan 17.2 penarikan balik bagi setiap 10,000 artikel, iaitu tiga kali ganda purata global.
Beliau berkata statistik itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperbaharui budaya penerbitan akademik tempatan, memperkukuh proses penilaian rakan setara serta meningkatkan pemantauan, ketelusan dan pematuhan etika di semua institusi.
FOI Putrajaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, termasuk 16 sesi perbincangan membabitkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa.
Festival itu turut disertai delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.





