”Kami persoalkan kamu sebagai menteri, bukan tak setuju dengan penjawat awam…’’ – Hamzah tegur Zafrul

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Kerajaan tidak sepatunya melenting dan mendakwa pembangkan tidak menghargai jasa pegawai kerajaan yang bertungkus dalam proses berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

Katanya,  sebagai individu yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, beliau memahami kesibukan penjawat awam yang bekerja pada waktu berbeza kerana pernah berada dalam situasi tersebut bersama mereka.

“Jika anda jumpa penjawat awam, anda tahu mereka akan beritahu kami, kami berkhidmat untuk kerajaan semasa. Maknanya dia menurut perintah kerajaan yang ada hari ini. Kita faham. Dia pun pernah berkhidmat untuk kita (semasa Perikatan Nasional menjadi kerajaan).

“Yang kita persoalkan adalah kamu sebagai Menteri yang bersetuju dengan artikel yang kita bentangkan ini. Yang nak melenting seolah-olah kami tak bersetuju dengan penjawat awam bahawa tak berterima kasih dengan pegawai kerajaan tak tidur, zon waktu berbeza 12 jam. Apa ini?

“Saya pernah jadi Timbalan Menteri Luar. Datuk Seri Saifuddin Abdullah pernah jadi Menteri Luar. Kami tahu (bekerja dalam) zon waktu (berbeza).

“Saya pernah, dalam lapan hari, saya berkunjung ke tujuh negara untuk berbincang, bertemu dengan pemimpin-pemimpin (asing). Sebab itu kita tahu mereka (penjawat awam) bekerja,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum itu Dewan Rakyat kecoh apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika  memberikan penerangan khas mengenai ART mendakwa wujud pihak yang menghina penjawat awam termasuk Ketua Setiausaha Kementerian, namun tidak menamakan mana-mana individu.

Hamzah berkata, pembangkang hanya ingin mempersoalkan perjanjian perdagangan tersebut, antara lain berhubung Perkara 3.3 berkaitan perdagangan digital.

Beliau juga menafikan ahli Parlimen pembangkang bersikap dengki terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nak beritahu Perdana Menteri, kami tak dengki pun kamu boleh menari dengan Trump di lapangan terbang dan semasa program rasmi kerajaan. Apa yang kami persoalkan adalah tentang perjanjian, kami persoalkan tentang maruah kerajaan, maruah negara. Itu yang kami persoalkan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img