SEORANG lelaki yang belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) selepas ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Kluang-Paloh, berhampiran Estet Ladang Pamol, di Kluang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa yang identiti dan usianya belum dikenal pasti itu disahkan meninggal dunia pada jam 11.38 pagi di Bahagian Trauma dan Kecemasan hospital berkenaan.
Menurutnya, mangsa sebelum itu ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum bantuan petugas perubatan HEBHK dihubungi pada jam 10.04 pagi.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi talian 07-7784222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





