SEORANG lelaki berusia 46 tahun ditemukan meninggal dunia dalam tandas sebuah sekolah di Batu 32, Jalan Baki Lama, Serian, semalam.
Mangsa ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian yang diketuai Rosnani Malong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya bomba di lokasi pada jam 4.43 petang, didapati seorang lelaki dewasa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah.
“Pasukan terpaksa membuka pintu tandas menggunakan peralatan khas bagi membolehkan anggota memasuki ruangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Punca kematian mangsa masih belum diketahui.





