DUA individu maut selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian pada jam 12.52 tengah malam itu melibatkan lima mangsa.
Menurutnya, dua mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 36 tahun.
“Dua lelaki dewasa iaitu pemandu lori dan kelindan selamat, manakala seorang wanita yang berada di dalam kereta cedera dan dibawa ke hospital terdekat menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.





