Pemandu lori didenda biarkan kenderaan rosak tanpa amaran hingga sebabkan kematian

SEORANG pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah meninggalkan lori yang rosak tanpa meletakkan tanda amaran sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan, tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Khalik Bacho, 46, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi, 19 Disember 2025, di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas-Balung.

Tertuduh bersama kelindannya dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Sapi Nangoh, Beluran dengan membawa muatan baja seberat 25 tan menggunakan lori jenis Nissan.

Bagaimanapun, lori berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum dialihkan ke bahu kiri jalan, namun masih menghalang lorong kiri.

Tertuduh dan kelindannya kemudian tidur di dalam lori tanpa meletakkan sebarang tanda amaran atau kon keselamatan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.

Mangsa, Hasan Ambo Latta, 32, yang menunggang motosikal dari Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerjanya di Sungai Burung, kemudian merempuh bahagian belakang lori berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kanan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan berganda.

Tertuduh dan kelindannya hanya menyedari kejadian selepas dikejutkan orang awam yang memaklumkan sebuah motosikal melanggar lori mereka.

Pendakwaan dikendalikan ASP Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor BH.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here