Polis menumpaskan dua sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian ‘love scam’ yang menyasarkan warga Vietnam selepas menahan 36 warga asing dalam dua serbuan di sebuah taman perumahan di Kota SAS, Kuantan, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 4 petang itu, polis menahan lima lelaki warga China serta 20 lelaki dan 11 wanita warga Vietnam bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan berkenaan turut membawa kepada rampasan 39 telefon bimbit, 28 komputer, 19 papan kekunci dan dua penghala internet.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Ativa serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau hubungan mencurigakan menerusi media sosial.
Mereka juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti berkenaan.





