Pengurus, 2 pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah pecah masuk Ar-Rahnu

SEORANG pengurus wanita bersama dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan bersubahat dan memecah masuk premis pajak gadai Ar-Rahnu Koperasi Perbadanan Melayu Negeri Johor (KPMNJ), awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Zeelyza Mohd Mohely, 41; Norzai Asman Ahmad Saru, 39; dan Nasaruddin Mahabod, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mengikut pertuduhan, Nor Zeelyza didakwa bersubahat dengan Norzai Asman dan Nasaruddin melakukan pecah rumah di premis Ar-Rahnu KPMNJ cawangan Kota Tinggi, Jalan Tun Sri Lanang, dengan niat mencuri barang kemas serta wang tunai pada jam 12.30 tengah hari, 5 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 457 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Norzai Asman dan Nasaruddin pula didakwa melakukan pecah masuk premis sama dengan niat mencuri barang kemas serta wang tunai pada jam 1.20 pagi, 6 November lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiqah Musa, manakala Nor Zeelyza diwakili peguam Muhammad Zahier dan Noorain Tupani, Norzai oleh Izaac Izzudeen Mohd Izhar, sementara Nasaruddin turut diwakili Noorain.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin, mengambil kira perhatian umum terhadap kes berkenaan yang tular dan membabitkan kerugian RM28.4 juta.

Bagaimanapun, peguam Nor Zeelyza memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya pertama kali berdepan pertuduhan dan bekerja sebagai pengurus dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Zeelyza diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, manakala dua lagi tertuduh masing-masing dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh turut diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Disember depan, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan kejadian pecah masuk premis pajak gadai itu dipercayai dirancang bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah membabitkan pemajakan barang kemas palsu oleh pekerja premis berkenaan sehingga menyebabkan kerugian barang kemas dan wang tunai berjumlah RM28.4 juta.

Susulan itu, polis menahan tujuh individu berusia antara 29 hingga 48 tahun di sekitar daerah ini dan Johor Bahru serta merampas 2,891 barang kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371, dua resit pajak gadai, dua rangkaian kunci, dua beg silang dan sebuah telefon bimbit.

Siasatan mendapati suspek dipercayai bertindak demikian bagi menghapuskan bukti pemalsuan barang kemas yang dipajak menggunakan identiti palsu oleh rakan mereka untuk mendapatkan wang syarikat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here