Tahanan rumah Najib dilaksana atas budi bicara Agong

MINIT mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September 2026 berkaitan pelaksanaan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dinyahklasifikasikan.

Ia dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah, susulan cabaran undang-undang oleh Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah tersebut.

Menurut dokumen itu yang tular dan turut disiarkan oleh portal Malaysiakini Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah membuka perbincangan untuk mendapatkan pandangan semua anggota Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.

 Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berpandangan bahawa hukuman ke atas Najib perlu diteruskan sehingga 2028 sebagaimana pandangan sebelum ini.

Menurut Dusuki, hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang dan merupakan suatu perkara yang asing dan bukan dalam sistem negara kita.

Beliau menyatakan bahawa keputusan ini akan memberi kesan kepada kerajaan khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Dusuki  menegaskan Najib yang dirujuk sebagai banduan hendaklah meneruskan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyatakan bahawa pandangan beliau adalah sama seperti pandangan Peguam Negara dan juga sebagaimana pandangan beliau dalam mesyuarat sebelum ini.

 Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal mengesahkan bahawa tiada undang-undang berhubung hukuman tahanan rumah. Namun, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum.

Oleh itu, beliau berpandangan bahawa “lega hukum” merupakan antara kuasa budi bicara Seri Paduka.

Sementara itu,  Tan Sri Razarudin Husain bersetuju dengan pandangan Peguam Negara. dan pada masa yang sama, pandangan pihak penjara juga perlu diambil kira terutamanya kesihatan banduan (Najib).

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa keputusan akhir adalah di bawah budi bicara  Yang di-Pertuan Agong dan akan akur dengan keputusan tersebut.

Supri Hashim menyatakan banduan masih mempunyai beberapa lagi kes rayuan di mahkamah. Keputusan rayuan tersebut boleh mengubah hukuman yang perlu dijalani.

Peguam Negara memaklumkan bahawa Najib masih perlu membayar tunggakan cukai berjumlah RM1.7 bilion dan ketika ini kes tersebut berada d i peringkat prosiding kebankrapan.

Beliau berpandangan bahawa jumlah tersebut merupakan suatu jumlah yang besar dan wajar diambil kira dalam pertimbangan hari ini.

 Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa kes tunggakan cukai tersebut tidak berkaitan dengan pertimbangan kes pada mesyuarat . Selain itu, Najib mempunyai hak untuk mempertahankan kes tersebut di mahkamah.

Pertimbangan Lembaga Pengampunan  adalah berkaitan dengan pemberian lega hukum dengan syarat pembayaran denda RM50,000,000.

Yang di-Pertuan Agong  perkenan untuk memberi pengampunan bersyarat melalui pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah beserta syarat setelah Najib membayar denda RM50 juta.

Menurut laporan Malaysiakini, lembaga itu kemudian meneliti draf prosedur operasi standard (SOP) bagi tahanan rumah. Agong memutuskan untuk membuat dua pindaan, antaranya menukar perkataan “isteri” kepada “isteri-isteri” bagi merujuk kepada individu yang dibenarkan tinggal bersama Najib sepanjang menjalani tahanan rumah.

Pindaan kedua ialah menggugurkan satu klausa yang membolehkan Najib menganjurkan atau menyertai acara sekiranya mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Penjara.

Yeoh dan Dusuki tidak memberikan pandangan mengenai SOP berkenaan kerana mereka menentang perintah tahanan rumah itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai keputusan pengampunan palsu yang tular di media sosial, Yeoh mencadangkan supaya individu lain selain dirinya menandatangani keputusan lembaga itu pada hari berkenaan, seperti Ketua Setiausaha Negara.

Sekali lagi, beliau memberikan alasan bahawa perkara itu boleh membawa kesan politik yang besar kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa Ketua Setiausaha Negara bukan anggota Lembaga Pengampunan dan mengarahkan Yeoh menjalankan tanggungjawabnya serta menurunkan tandatangan pada perintah pengampunan bersyarat itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here