PERSELISIHAN faham berkaitan mesej perbualan dalam kumpulan WhatsApp dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua dibelasah tiga pelajar lelaki sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian di sebuah sekolah Tangkak, 13 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dipercayai ditendang dan ditumbuk berulang kali di beberapa bahagian badan oleh tiga pelajar berusia 15 tahun di dalam bilik darjah.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas video memaparkan insiden berkenaan tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd Roslan Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah malam, 14 November lalu.
Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, dada, perut dan lengan kiri.
“Bertindak atas laporan diterima, polis berjaya mengenal pasti dan menahan ketiga-tiga pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Roslan berkata, hasil temu bual mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang kejadian buli dan keganasan, khususnya membabitkan pelajar sekolah.
“Perbuatan menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan, malah menjejaskan keselamatan mangsa.
“Ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak dan tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu, khususnya maklumat yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit.





