Dua beradik sanggup berparang angkara perselisihan faham

POLIS menahan seorang lelaki yang sanggup mencederakan adik kandungnya sendiri menggunakan parang dalam perselisihan faham keluarga sehingga mengakibatkan  kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku jam 3.49 petang semalam di Taman Air Mawang, Johol di Kuala Pilah.

Menurut beliau, polis menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu melalui panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di sebuah rumah.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, mangsa lelaki berusia 27 tahun dipercayai pergi ke rumah keluarganya di lokasi kejadian sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.

Jelas beliau, seorang lelaki yang juga abang kepada mangsa, bertindak membawa sebilah parang dan menyerang mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka dan kedua-duanya cedera. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Manakala suspek pula turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Tambahnya, suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Muhamad Mustafah berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-993 3978,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img