DUA individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun sebuah kedai emas Permata Al-Idrus di Batu Enam, Gong Badak, Kuala Terengganu, 12 November lalu, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Akmal Mohd Bakri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, bermula hari ini hingga 25 November.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, dua lelaki memasuki premis berkenaan dengan memakai topi keledar dan menutup muka sebelum salah seorang daripada mereka yang bersenjatakan parang masuk ke bahagian dalam kedai.
Rakannya pula dipercayai bertindak memantau keadaan sekeliling serta mengawasi pergerakan pekerja.
Kesemua pekerja kedai emas itu bertindak menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke bahagian belakang premis.
Suspek kemudian mengambil tiga dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000 sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, lapor BH.





