Polis sahkan lelaki tempatan maut berbalas tembakan

POLIS mengesahkan seorang lelaki warga tempatan maut selepas berbalas tembakan dengan anggota polis dalam kejadian di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Ipoh, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan polis kemudian menahan kenderaan dipandu suspek sebelum lelaki terbabit keluar untuk melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

“Pasukan polis terpaksa membalas tembakan bagi menyelamatkan diri sehingga tiada lagi ancaman keselamatan di lokasi kejadian.

“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi. Sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here