Maritim Malaysia tahan 12 PATI cuba masuk negara secara haram

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di perairan Kuala Tumpat, Ahad lalu.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan membabitkan lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, lapan PATI warga Bangladesh ditemui berhimpit di dalam sebuah kereta Volkswagen, manakala empat lagi berada dalam kereta Proton Satria.

Katanya, operasi bermula kira-kira jam 6.15 petang apabila Tim Operasi Darat 1 mengesan sebuah bot laju mencurigakan di perairan Kuala Tumpat sebelum bot itu dilihat menyusuri Sungai Tumpat.

“Susulan itu, Bot Maritim dan Tim Operasi Darat 2 digerakkan ke lokasi. Kira-kira jam 6.30 petang, pasukan operasi mengesan bot berkenaan cuba merapat ke tebing sungai di Kampung Kelong, Tumpat, dipercayai untuk menurunkan PATI,” katanya.

Bagaimanapun, bot itu melarikan diri melalui laluan tidak diwartakan sebelum siasatan susulan oleh Tim Operasi 3 berjaya menahan dua kenderaan bersama 12 PATI terbabit.

Beliau berkata, dua pemandu kenderaan berkenaan yang dipercayai warga tempatan berjaya melarikan diri.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati PATI terbabit mendakwa membayar antara RM1,500 hingga RM3,500 kepada ejen untuk memasuki Malaysia bagi bekerja dalam sektor pembinaan, pembersihan dan kedai makan.

“Ada yang mendakwa membuat bayaran penuh sebelum perjalanan, manakala sebahagian lagi membayar separuh. Terbaharu, kami turut mengesan kes ejen menanggung bayaran terlebih dahulu, namun PATI terbabit diwajibkan bekerja dengan mereka.

“Kebanyakan PATI sebenarnya mampu membayar ribuan ringgit kepada ejen. Namun, mereka tetap memilih laluan haram untuk masuk ke negara ini kerana disenarai hitam, terutama warga Indonesia, selain mahu tinggal lebih lama dan bekerja mengikut sektor pilihan sendiri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan imigresen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here