SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di sebuah tali air di Kampung Tok Dor Dalam, Besut, semalam.
Mangsa, Muhammad Shahir Nazril Mohd Nuzi, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Tok Dor, dibawa ke Klinik Kesihatan Jabi untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 5.58 petang.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Besut pada Khamis mengesahkan punca kematian adalah konsisten dengan kejadian lemas.
“Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan anak-anak sentiasa berada di bawah pengawasan, terutama ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air, parit dan pantai bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.





