AMALAN Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu dijadikan asas daya saing jangka panjang sektor agrikomoditi negara, khususnya bagi memastikan produk Malaysia terus mendapat kepercayaan dan akses ke pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tuntutan pasaran global kini bukan sahaja tertumpu kepada nilai dagangan, malah turut mengambil kira kaedah penghasilan produk, perlindungan hutan, kebajikan pekerja dan kebolehkesanan bahan mentah.

Beliau berkata, sektor perladangan dan komoditi perlu menyesuaikan pendekatan bagi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa, termasuk Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Hari ini, pembeli di pasaran antarabangsa semakin mahu tahu bagaimana sesuatu produk dihasilkan.
“Adakah hutan dilindungi? Adakah pekerja dilayan dengan adil? Bolehkah asal-usul bahan mentah dikesan? Dan bolehkah setiap dakwaan kelestarian disahkan oleh pihak bebas?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada ESG Summit 2026 sempena Festival Idea Putrajaya 2026 bertemakan ‘From Dialogue to Declaration‘ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.
Menurut Noraini, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit mencecah RM112.51 bilion pada 2025, namun pencapaian sektor itu tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai dagangan semata-mata.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) apabila hampir 194,000 pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan itu sehingga September lalu, membabitkan keluasan melebihi 723,000 hektar.
Dalam usaha memastikan pekebun kecil tidak tercicir daripada peralihan kepada amalan mampan, Belanjawan 2027 turut menyediakan pembiayaan hibrid RM100 juta bagi membantu kira-kira 4,500 pekebun kecil melaksanakan program tanam semula sawit, dengan separuh pembiayaan berbentuk bantuan dan selebihnya perlu dibayar balik.
Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM15 juta daripada dana kutipan ses industri sawit bagi melindungi habitat spesies terancam termasuk Harimau Malaya, Gajah Borneo dan Orang Utan.
Noraini berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan automasi juga mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau memberikan contoh pelaksanaan Project Infinity oleh SD Guthrie yang menggunakan 444 mesin bagi kerja pembajaan dan kawalan rumpai, sekali gus mengurangkan keperluan pekerja bagi tugasan berkenaan sebanyak 29 peratus tanpa sebarang pemberhentian pekerja.
Malah, seramai 503 anak tempatan dilatih sebagai pakar mesin menerusi projek itu dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan.
“Teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membuka kerjaya yang berkemahiran dan bergaji baik kepada anak muda kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa manfaat kemajuan teknologi perlu dinikmati semua pihak, termasuk pekebun kecil, selain memastikan data mereka dilindungi dan sistem digital yang dibangunkan tidak menambah beban pengguna.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri dan universiti dalam penyelidikan, pembangunan bakat serta penghasilan dasar berasaskan bukti bagi memastikan komitmen ESG dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberikan manfaat kepada negara.





