Kerajaan tanggung penuh kos MSPO, pastikan lebih ramai pekebun kecil sertai pensijilan

KERAJAAN menanggung sepenuhnya kos Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil persendirian, termasuk yuran audit selain menyediakan latihan serta khidmat pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pegawai TUNAS sehingga proses pensijilan selesai.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerajaan mahu memastikan pensijilan MSPO tidak dilihat sebagai beban kepada pekebun kecil, sebaliknya sebagai instrumen penting untuk meningkatkan daya saing industri sawit Malaysia di pasaran global.

Menurutnya, masih ramai pekebun kecil beranggapan proses pensijilan itu rumit kerana membabitkan borang, dokumen, audit serta kos, selain ada yang berdepan isu geran tanah dan tidak mengetahui cara untuk memulakan proses berkenaan.

“Kerajaan telah mengambil langkah supaya pekebun kecil tidak perlu mengurus semuanya bersendirian. Sekiranya ada masalah geran, status tanah atau dokumen yang belum lengkap, berbincanglah dengan pegawai MPOB.

“Kadang-kadang masalah itu boleh diselesaikan apabila kita tahu langkah yang betul,” katanya ketika berucap merasmikan program MSPO Pekebun Kecil Sawit Daerah Tampin di Balai Raya Kampung Tengah di Gemencheh, Tampin semalam. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Noraini memberitahu, MSPO bukan sekadar sijil yang disimpan di rumah, sebaliknya menjadi penanda aras kepada pengurusan kebun yang baik melalui amalan pertanian mampan, penjagaan alam sekitar serta penghasilan buah sawit yang berkualiti.

Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai 5,393 pekebun kecil sawit yang mengusahakan lebih 21,800 hektar kawasan tanaman, sekali gus membuktikan peranan penting golongan itu dalam menyokong industri sawit negara.

Setakat 31 Mei lalu, kata beliau, sebanyak 4,648 pekebun kecil di Negeri Sembilan telah memperoleh pensijilan MSPO melibatkan lebih 16,300 hektar kawasan tanaman, manakala di daerah Tampin sahaja sebanyak 785 pekebun kecil telah dipersijilkan membabitkan lebih 4,100 hektar.

Menurutnya lagi, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif, namun masih terdapat pekebun kecil yang belum mendapatkan pensijilan dan perlu memanfaatkan kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan.

Noraini berkata, pensijilan MSPO menjadi bukti bahawa minyak sawit Malaysia dihasilkan secara mampan dan bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap produk sawit negara.

“Apabila pembeli luar yakin, pasaran kita lebih terjamin. Apabila pasaran terjamin, industri terus bergerak. Akhirnya, rezeki pekebun kecil juga dapat dipertahankan,” katanya.

Beliau turut menggesa pekebun kecil mendapatkan khidmat nasihat daripada MPOB bagi mempercepatkan proses pensijilan MSPO, sekali gus memperkukuh kedudukan minyak sawit Malaysia di pasaran global.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img