TVET MyKomoditi sedia 300 tenaga mahir industri, pacu Bakat Komoditi

KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh pembangunan modal insan sektor agrikomoditi melalui pelaksanaan Program TVET MyKomoditi 2026 yang memberi tumpuan kepada penghasilan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program ini merupakan inisiatif strategik dalam membina Bakat Komoditi yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah celik teknologi dan bersedia menghadapi landskap industri yang semakin moden dan berautomasi.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad (lima dari kiri) pada majlis pelancaran Program TVET MyKomoditi 2026 di Dewan Pertubuhan Peladang Sarawak di Kuching hari ini. GAMBAR: KPK

“TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya telah diangkat sebagai laluan perdana dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi yang memenuhi kehendak industri serta menawarkan kerjaya dengan pendapatan yang kompetitif,” katanya ketika berucap merasmikan program TVET MyKomoditi di Dewan Pertubuhan Peladang Sarawak di Kuching hari ini.

Menurut Noraini, sektor agrikomoditi negara kini berada dalam fasa transformasi pesat, dengan penerapan agroteknologi, automasi dan pendigitalan yang semakin meluas. Pada tahun 2025, sektor ini mencatatkan nilai eksport sebanyak RM196.72 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Sehubungan itu, KPK melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) memperkenalkan Program Jaminan Kerjaya berasaskan model “Train and Place”, yang menghubungkan latihan kemahiran secara langsung dengan peluang pekerjaan sebenar dalam industri.

“Melalui pendekatan ini, seramai kira-kira 300 perantis belia tempatan akan mengikuti latihan berstruktur dalam bidang teknikal seperti Harvesting Specialist dan Machine Specialist, dengan penglibatan syarikat perladangan utama negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak lima memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai melalui kerjasama tripartite antara IMPAC, institusi TVET termasuk Sarawak Skills, Kolej RISDA dan Sabah Skills & Technology Centre, serta pemain industri seperti SD Guthrie, SALCRA Berhad, TH Plantations, Genting Plantations dan Sawit Kinabalu.

Menurut Noraini, kerjasama strategik ini memperkukuh pelaksanaan latihan berasaskan keperluan industri serta memastikan kebolehpasaran graduan TVET terus dipertingkatkan, selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030.

“Pendekatan ini turut menyokong usaha kerajaan menangani kekurangan tenaga kerja tempatan dalam sektor agrikomoditi melalui penggunaan mekanisasi dan automasi, sekali gus meningkatkan produktiviti serta menarik minat golongan belia.

“KPK yakin pemerkasaan Bakat Komoditi melalui ekosistem TVET yang inklusif dan berpacukan industri akan terus memperkukuh daya tahan sektor agrikomoditi, di samping membuka lebih banyak peluang kerjaya berkualiti kepada generasi muda,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img