SUARA AWANG SELAMAT
AWANG langsung tak kejut Israel sudah bunuh 200 penduduk Palestin di Gaza sejak gencatan senjata dilaksanakan.
Alasan Israel ialah ancaman terhadap garisan kuning – kawasan khas untuk Israel dan disebabkan serangan Hamas. Walaupun serangan terbaru terang-terang melanggar gencatan senjata namun Presiden AS, Donald Trump dan Setiausaha Luas AS yang juga penyokong tegas Zionis, Marco Rubio berkata, ‘’Israel berhak mempertahankan diri’’.
Awang percaya lepas ini banyak lagi rakyat Palestin akan dibunuh oleh tentera Zionis atas dua alasan itu dan AS tidak akan membantah kerana mana mungkin, mereka akan memarahi sebuah negara yang mereka sendiri memberi bantuan ketenteraan bernilai berbilion-bilion ringgit.
Awang sejak awal lagi sudah menjangkakan pelan damai, gencatan senjata dan mengarahkan Israel berundur ke garisan kuning hanyalah sandiwara Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Netanyahu sendiri mengakui, pelan damai 20 perkara itu yang kononnya dicadangkan oleh Trump sudahpun dibincang dan dipersetujui oleh Israel. Dan pada masa sama tidak ada mana-mana pihak Palestin termasuk Hamas dipanggil berbincang sebelum ia ditandatangani di Mesir.
Dalam apapun PERJANJIAN, AS akan pastikan negara itu dan sekutunya tidak akan rugi dan akan MEMASTIKAN ia lebih menguntungkan mereka. Sebab itulah dalam perjanjian gencatan banyak kejanggalan.
Israel yang menjajah diminta berundur ke garisan kuning – Zon Keselamatan Israel. Ia satu kawasan berhampiran sempadan Gaza. Garisan atau zon ini memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk Gaza.
Petani tidak boleh mengakses tanah mereka yang terletak dalam zon tersebut, penduduk yang melintasi garisan itu boleh ditembak atau ditahan oleh tentera Israel. Dan Rumah, sekolah serta infrastruktur yang berdekatan zon ini sering menjadi sasaran serangan udara atau peluru berpandu.
Satu lagi Awang nak bagi tahu, dengan menguasai Zon Kuning maknanya Israel menguasai 58 peratus wilayah Gaza. Inilah demokrasi dan pelan damai ‘ala Amerika’ yang semua negara Islam dok sanjung kata hebat!
Sebenarnya banyak lagi Awang boleh ulas pasal gencatan senjata Gaza tetapi cukup setakat ini dulu. Cuma Awang nak nasihatkan janganlah terperdaya dengan sandiwara Trump dan jangan sama sekali percaya Israel akan patuhi gencatan senjata. Buktinya dah ada..dan banyak lagi akan terjadi…tunggu saja.
Awang – Kagum tengok Air Force One tapi tak suka penumpangnya.



