Biodiesel B15 pemangkin keselamatan tenaga, kemakmuran pekebun dan masa depan lestari Malaysia

Oleh: Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

DALAM era pascamoden yang menyaksikan krisis perubahan iklim global kian meruncing, peralihan daripada kebergantungan tegar terhadap bahan api fosil kepada sumber tenaga boleh baharu bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu kemestian yang mutlak.

Antara alternatif paling signifikan yang menduduki barisan hadapan revolusi hijau ini adalah biodiesel, iaitu bahan api cecair domestik bersumberkan biomas seperti minyak sayuran dan lemak haiwan yang berupaya membekalkan tenaga bersih secara lestari.

Apatah lagi dalam landskap tenaga global yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, turun naik harga minyak mentah dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa menjadikan keselamatan tenaga telah menjadi agenda strategik setiap negara.

Permintaan tenaga global meningkat

Menurut International Energy Agency (IEA, 2024), permintaan tenaga global dijangka terus meningkat sekitar 3–4% setahun didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan peningkatan penggunaan elektrik manakala ketidaktentuan geopolitik terus menjadi ancaman utama kepada kestabilan bekalan tenaga dunia.

Dalam konteks ini, kebanyakan negara di dunia sedang mempercepatkan usaha mempelbagaikan sumber tenaga melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan biofuel sebagai strategi memperkukuh daya tahan tenaga nasional.

Di peringkat domestik, pelaksanaan mandat adunan biodiesel bukan sahaja bertindak sebagai benteng keselamatan tenaga negara daripada turun naik harga pasaran petroleum global, malah menjadi pemacu utama ekonomi hijau menerusi pemerkasaan sektor pertanian moden.

Tambahan pula, sifatnya yang mesra alam, mudah terurai secara biologi (biodegradable), dan memiliki kecekapan pembakaran yang tinggi membuktikan bahawa biodiesel adalah kunci anjakan paradigma komprehensif menuju masa depan sifar karbon bersih (net-zero carbon).

Oleh itu, pemahaman mendalam mengenai potensi, mekanik penghasilan dan impak sosioekonomi biodiesel adalah sangat kritikal bagi merangka strategi pembangunan mampan demi kelangsungan generasi akan datang.

Selaras dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) serta komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, kerajaan telah memperluaskan pelaksanaan Biodiesel B15, iaitu campuran 15% Palm Methyl Ester (PME) dengan 85% diesel petroleum.

Strategi pelbagaikan sumber tenaga

Dasar ini bukan sekadar memperkenalkan bahan api alternatif yang lebih mampan, tetapi merupakan strategi nasional untuk mempelbagaikan sumber tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber tempatan, merangsang pembangunan industri hiliran sawit serta mengukuhkan daya tahan ekonomi ketika dunia berdepan krisis tenaga dan perubahan iklim.

Pada masa yang sama, pendekatan ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 8 (Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Keseriusan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran bahan api fosil luar negara terbukti apabila Malaysia memulakan fasa peralihan rasmi pelaksanaan mandat biodiesel B15 untuk sektor pengangkutan secara berperingkat.

Berbanding diesel fosil yang rantaian bekalannya bermula di pelantar minyak luar pesisir atau negara pengeluar asing, rantaian nilai B15 bermula di ladang-ladang kelapa sawit domestik. Hakikatnya, setiap liter Biodiesel B15 yang digunakan bermaksud pengurangan penggunaan diesel petroleum, peningkatan permintaan terhadap minyak sawit tempatan serta pengukuhan ekonomi domestik.

Berbeza dengan bahan api import yang menyebabkan aliran keluar pertukaran asing, biodiesel memastikan nilai ekonomi terus beredar dalam negara dan memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian industri sawit.

Pendekatan “Daripada ladang kepada tenaga”

Dalam era ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga minyak mentah dunia, gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan komitmen terhadap agenda penyahkarbonan, keselamatan tenaga telah menjadi antara keutamaan strategik sesebuah negara.

Bagi Malaysia, pendekatan “daripada ladang kepada tenaga” (farm-to-fuel) menawarkan satu model pembangunan yang menghubungkan sektor pertanian, industri, tenaga dan kelestarian alam sekitar dalam satu rantaian nilai yang saling memperkukuh.

Pendekatan ini menjadikan hasil sawit tempatan bukan sekadar komoditi eksport, malah sumber tenaga domestik yang mampu meningkatkan daya tahan ekonomi negara. Ironinya, Malaysia mempunyai kelebihan strategik untuk melaksanakan pendekatan “daripada ladang kepada tenaga” kerana merupakan antara dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

Pada tahun 2024, Malaysia menghasilkan 19.34 juta tan minyak sawit mentah (CPO), meningkat 4.2% berbanding 18.55 juta tan pada tahun sebelumnya hasil peningkatan produktiviti dan bekalan tenaga kerja di sektor perladangan.

Industri sawit negara meliputi kira-kira 5.6 juta hektar kawasan tanaman, dengan 14.6% atau sekitar 820,000 hektar diusahakan oleh pekebun kecil persendirian manakala 11.8% lagi diusahakan oleh pekebun kecil tersusun.

Statistik ini menunjukkan bahawa hampir satu perempat daripada keluasan tanaman sawit negara bergantung kepada kesejahteraan pekebun kecil, justeru sebarang peningkatan permintaan domestik terhadap biodiesel akan memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada komuniti luar bandar serta kelangsungan industri sawit negara.

Tingkatkan campuran biodiesel

Bermula 1 Jun 2026, kerajaan meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 di Semenanjung Malaysia iaitu 15% Palm Methyl Ester (PME) dan 85% diesel petroleum yang merupakan langkah penting ke arah membangunkan sistem tenaga yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan diesel petroleum, malah meningkatkan penggunaan minyak sawit tempatan sebagai sumber tenaga domestik tanpa memerlukan pengubahsuaian pada kebanyakan enjin diesel sedia ada.

Pelaksanaan ini dilihat sebagai strategi dua serampang, iaitu memperkukuh keselamatan tenaga negara dan pada masa yang sama meningkatkan permintaan domestik terhadap minyak sawit keluaran tempatan.

Hakikatnya, pendekatan Biodiesel B15 merupakan manifestasi konsep “daripada ladang kepada tenaga”, iaitu menghubungkan pengeluaran hasil sawit tempatan dengan keperluan tenaga negara.

Rantaian ini mewujudkan satu ekosistem ekonomi yang bermula di ladang, diteruskan ke kilang pemprosesan, loji biodiesel, syarikat logistik dan akhirnya sampai kepada pengguna. Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan nilai tambah minyak sawit malah mengukuhkan konsep ekonomi kitaran yang memanfaatkan sumber domestik secara optimum.

  • Penulis ialah Ketua Laboratori, Institut Pengajian Sains Sosial/Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here