Dokumen perintah tahanan rumah Najib boleh dinyahklasifikasi jika dicabar di mahkamah – Anwar

DOKUMEN perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, boleh dinyahklasifikasikan sekiranya perkara itu dicabar dan dibawa ke mahkamah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada dokumen berkenaan sudah melalui proses penyahklasifikasian, sebaliknya memaklumkan kerajaan akan memberikan perkembangan terkini mengenai statusnya dalam masa terdekat.

“Dokumen perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Bagaimanapun, sebagai prinsip umum, sekiranya perintah itu dicabar dan dibawa ke mahkamah, dokumen itu akan dinyahklasifikasikan,” katanya ketika menjawab soalan media Malaysia di Shenzhen, China hari ini, lapor BH.

Dalam perkembangan berkaitan, FMT yang memetik sumber melaporkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan Najib sudah dinyahklasifikasikan bagi membolehkan dokumen itu dikemukakan sebagai sebahagian daripada afidavit.

Laporan itu menyebut Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu memfailkan afidavit berkenaan susulan cabaran Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah bekas Presiden UMNO itu.

Usaha mendapatkan ulasan AGC mengenai perkembangan berkenaan sedang dijalankan.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan memberikan penjelasan sama ada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, sudah dinyahklasifikasikan.

Mereka berpandangan prosiding serta minit mesyuarat Lembaga Pengampunan merupakan dokumen rasmi kerajaan yang diklasifikasikan sebagai sulit dan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan masih dalam penelitian serta semakan mengikut lunas undang-undang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here