SEORANG lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ipoh awal pagi tadi dipercayai menjadi dalang utama kumpulan penjenayah yang terbabit dalam kira-kira 22 kes samun, pecah rumah, mendatangkan kecederaan dan dadah di empat negeri sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Menurut beliau, kumpulan berkenaan mempunyai modus operandi tersendiri dengan melakukan pemantauan beberapa kali di kawasan sasaran sebelum memecah masuk kediaman mangsa.
“Mereka menyasarkan rumah berhampiran lebuh raya bagi memudahkan laluan masuk dan keluar selepas melakukan jenayah.
“Sebelum menyamun, mereka akan membuat pemantauan terlebih dahulu dan bergerak beberapa kali ke kawasan berkenaan bagi mengenal pasti sasaran. Ketika melakukan samun pula, mereka memakai topeng bagi mengelakkan identiti dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Kumar, kumpulan itu lazimnya bergerak dalam kumpulan empat hingga lima orang dengan menyasarkan rumah banglo, berkembar dan teres secara rawak, selain menggunakan senjata api serta parang ketika melakukan jenayah.
Mengulas kejadian kira-kira jam 2.30 pagi tadi, beliau berkata, pasukan polis Bahagian D9 JSJ Bukit Aman dengan bantuan JSJ IPK Perak yang menjalankan rondaan terserempak dengan sebuah Perodua Axia berwarna perak dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, polis mengarahkan pemandu kenderaan berkenaan berhenti selepas memperkenalkan diri, namun lelaki berusia 39 tahun itu bertindak memecut sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Polis kemudian mengejar dan memintas kenderaan berkenaan sebelum berlaku sedikit pelanggaran yang menyebabkan kereta itu berhenti.
“Suspek keluar dari kenderaan dalam usaha melarikan diri sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis. Pasukan polis terpaksa membalas tembakan kerana tindakan suspek mengancam keselamatan anggota,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan terhadap suspek yang maut di lokasi kejadian menemukan sepucuk senjata api separa automatik, tiga butir peluru hidup dan enam kelongsong peluru, selain satu peket serbuk kristal disyaki syabu.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut dalam kereta milik isteri suspek turut menemukan tiga bilah parang, pemotong besi, dua topeng muka, dua pasang sarung tangan dan dua kuku kambing yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Kumar berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, dadah, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.
“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak 2025 dan mempunyai hubungan antara satu sama lain, namun tidak mempunyai pertalian kekeluargaan. Berdasarkan barangan yang dirampas, polis percaya suspek mungkin dalam perjalanan untuk mengumpulkan ahli kumpulan lain ketika kejadian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, polis sudah mengenal pasti empat lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dan sedang diburu, manakala seorang lagi ahli ditahan kira-kira seminggu lalu berhubung kes samun di Tanjung Malim serta direman sehingga 22 November ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.





