Pegawai, juruterbang TUDM terbabit penyeludupan dadah – PM

BEBERAPA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk juruterbang, dikesan terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berskala besar, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius kerajaan terhadap integriti pasukan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap semua individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Beliau berkata, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya menyatakan perkara ini pada sidang media ini kerana tidak mahu mana-mana pihak beranggapan bahawa kita sengaja melengah-lengahkan tindakan,” katanya dalam sidang media penutup Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-33 di Shenzhen, China hari ini, lapor BH.

Anwar mendedahkan, antara individu yang terbabit termasuk pegawai berpangkat Leftenan dan Kapten selain juruterbang.

“Bagaimana kita boleh mengharapkan negara ini selamat jika kita membiarkan perkara ini berlaku?.

“Ini membabitkan pasukan keselamatan. Ibarat ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, semua pihak bersetuju bahawa tiada sebarang kompromi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

“Ini bukan soal menjaga imej mana-mana jabatan,” katanya sambil menegaskan pihak polis perlu diberikan ruang untuk melengkapkan siasatan.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah serta penyalahgunaan sistem kewangan.

Beliau berkata, lebih 100 individu ditahan mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala aset bernilai berbilion ringgit disita atau dibekukan.

Katanya, tindakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan membanteras penyeludupan dadah dan kegiatan jenayah berkaitan.

“Negara tidak boleh membiarkan salah laku seperti ini berterusan, sama ada ia membabitkan golongan di peringkat tertinggi, penjawat awam mahupun anggota penguat kuasa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here