KERJASAMA antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan National Commission of Supervision (NCS) China terus diperkukuh menerusi perkongsian maklumat, kepakaran serta penyelarasan tindakan dalam aspek pencegahan, penyiasatan dan penguatkuasaan rasuah.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasi NCS yang diketuai Timbalan Setiausaha Central Commission for Discipline Inspection (CCDI) merangkap Naib Pengerusi NCS, SUN Xinyang ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, hubungan kerjasama kedua-dua institusi itu terus berkembang sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Oktober 2023.
Menurutnya, MoU yang berkuat kuasa selama lima tahun dan diperbaharui secara automatik itu menjadi landasan penting dalam memperkukuh usaha bersama membanteras rasuah.
“Pertemuan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara kedua-dua institusi, khususnya menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman bagi memperkukuh keberkesanan usaha pencegahan serta pembanterasan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerjasama rentas negara itu turut memperlihatkan kepentingan penyelarasan tindakan penguatkuasaan apabila SPRM sebelum ini berjaya menahan seorang lelaki warga China berusia lingkungan 50-an yang dikehendaki pihak berkuasa negara berkenaan.
Lelaki itu ditahan pada 17 November lalu ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM sebelum diserahkan kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur, semalam.
Suspek turut berada dalam senarai individu dikehendaki NCS, manakala pasport miliknya telah dibatalkan kerajaan China.
Penahanan itu berkaitan dakwaan memberikan wang rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan supaya tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadapnya berhubung kes penipuan dan pengubahan wang haram.
Dalam perkembangan sama, kunjungan delegasi NCS itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneroka peluang baharu bagi memperluas kerjasama dalam memerangi rasuah.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Y S Karunanithy; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Hairuzam Mohd Amin @ Hamim dan wakil Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Lim Bee Kean.





