Bedah siasat rekod 46 kecederaan pada tubuh Noorizwan, trauma kepala punca kematian

SEBANYAK 46 kecederaan ditemukan pada tubuh Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu, dengan trauma objek tumpul pada kepala dikenal pasti sebagai punca kematiannya.

Dapatan itu terkandung dalam laporan bedah siasat disediakan pakar patologi kanan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM), yang turut merekodkan kecederaan pada kepala, muka, kedua-dua anggota atas dan bawah serta belakang badan mangsa.

Laporan berkenaan turut menunjukkan kecederaan dialami lelaki berusia 42 tahun itu dilakukan oleh seorang atau lebih individu dan bukannya akibat perbuatan sendiri.

Peguam Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran berkata, laporan itu turut mendapati Noorizwan tidak menghidap sebarang penyakit semula jadi yang ketara sebelum meninggal dunia.

“Secara ringkasnya, dia dipukul hingga mati. Kecederaan pada kepala yang menyebabkan kematiannya,” katanya dalam sidang media bersama keluarga Noorizwan di Petaling Jaya hari ini, lapor FMT.

Allahyarham Noorizwan ditahan pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah, kecurian dan pecah rumah.

Dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sebelum dibawa ke HUKM pada 30 September, namun disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi menegaskan supaya siasatan kematian Noorizwan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

Anwar turut meminta perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Mohd Khalid pula kemudian mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menjalankan siasatan berhubung kematian itu selepas terdapat beberapa kecederaan luar biasa pada tubuh mangsa.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, kecederaan pada tubuh mangsa menunjukkan dia dipukul menggunakan objek tumpul, manakala kesan pada pergelangan tangan pula konsisten dengan kecederaan akibat pemakaian gari.

Beliau berkata, pakar patologi turut merekodkan pendarahan di bawah kulit pada bahagian atas belakang badan, paha, tapak kaki, bahu kiri dan pergelangan tangan kiri mangsa.

Katanya, pemeriksaan membabitkan pembukaan lapisan di bawah kulit mendedahkan pendarahan meluas, sekali gus menunjukkan tahap kecederaan serius yang dialami Noorizwan.

Surendran menyifatkan dapatan itu sebagai mengejutkan dan mempersoalkan sama ada masih terdapat tahanan yang menerima layanan sedemikian ketika berada dalam lokap polis.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat membuat spekulasi mengenai kejadian sepanjang Noorizwan berada dalam tahanan atau pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang terlibat ditangkap dan didakwa, selain mempersoalkan mengapa kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan sengaja menyebabkan kecederaan bagi mendapatkan pengakuan atau maklumat.

Menurutnya, tahap kecederaan yang direkodkan dalam laporan bedah siasat turut menimbulkan persoalan sama ada siasatan wajar menjurus kepada kesalahan membunuh.

Katanya, pertuduhan membunuh boleh dipertimbangkan sekiranya seseorang menyebabkan kecederaan yang begitu berbahaya sehingga boleh dijangka mengakibatkan kematian, tertakluk kepada pembuktian elemen kesalahan berkenaan.

“Mesti ada tangkapan, dan akhirnya, mesti didakwa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here