DATUK Ismail Lasim perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu ditegaskan Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan penjelasan susulan berhubung kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, pendirian itu selaras dengan konvensyen serta peruntukan perlembagaan negeri dan perlu dipatuhi dalam menentukan kedudukan Menteri Besar.
Istana menjelaskan, dalam majlis menghadap pagi tadi yang turut dihadiri Dato’-Dato’ Undang, Ismail memaklumkan kepada Tuanku Muhriz bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu dan tidak bersetuju surat itu dihantar kepada pihak istana.
Ismail turut menyatakan perkara sama dalam sidang media selepas pertemuan berkenaan.
“Persoalan itu tidak timbul, kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan.
“Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan Perlembagaan dan YAB Dato’ Ismail bin Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri,” menurut kenyataan itu.
Istana turut menegaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya mendapat perkenan Tuanku Muhriz, manakala surat yang dihantar ke Istana Hinggap sebelum ini masih belum disahkan.
Dalam perkembangan sama, Ismail diminta mengemukakan senarai anggota Exco negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz sebelum tarikh persidangan DUN dan pembentangan Belanjawan Negeri ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua urusan berkenaan akan ditentukan selepas perkara berkaitan kedudukan Menteri Besar disempurnakan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kebawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Kemelut berkenaan tercetus pada 16 November lalu apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh hari sama.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 November memaklumkan surat itu diterima daripada seorang individu yang mendakwa mewakili sebuah firma guaman dan kesahihannya belum disahkan.





