Krisis Negeri Sembilan uji kredibiliti UMNO janjikan kestabilan

KEMELUT politik dan pentadbiran Negeri Sembilan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu disifatkan sebagai ujian besar terhadap kredibiliti UMNO dalam menunaikan janji kestabilan politik serta menghormati institusi diraja.

Portal Harapan Daily dalam komentarnya berpandangan, perkembangan membabitkan kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kepimpinan parti itu menguruskan krisis.

Antara perkara yang menjadi perhatian adalah kontroversi surat berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selain penarikan balik tindakan undang-undang oleh 10 bekas Exco negeri.

Menurut komentar itu, meskipun penarikan balik tindakan mahkamah berkenaan merupakan perkembangan dalam usaha menyelesaikan kemelut, ia tidak semestinya menjawab persoalan lebih besar mengenai kesan krisis terhadap pentadbiran dan keyakinan rakyat.

“Kontroversi turut memuncak apabila UMNO mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar berdasarkan salinan surat bertarikh 16 November lalu, sedangkan Istana Negeri Sembilan kemudian memaklumkan kesahihan surat itu belum disahkan.

“Perkembangan terbaharu menyaksikan Tuanku Muhriz meminta Ismail membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli DUN selain mengemukakan senarai anggota Exco untuk pertimbangan baginda,” kata komentar itu hari ini.

Harapan Daily berpandangan, walaupun parti politik mempunyai peranan dalam mengemukakan calon kepimpinan negeri, proses pelantikan Menteri Besar perlu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Besar.

Komentar itu turut membangkitkan persoalan sama ada perbezaan kepentingan dalam UMNO menjadi antara faktor yang menyukarkan penyelesaian krisis, sekali gus menjejaskan imej kestabilan pentadbiran yang pernah diketengahkan ketika era kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, keutamaan rakyat ketika ini bukanlah persaingan menentukan individu yang bakal menerajui kerajaan negeri, sebaliknya memastikan institusi pentadbiran dapat berfungsi dengan berkesan.

Sehubungan itu, UMNO perlu memberikan penjelasan meyakinkan mengenai penyelesaian kemelut berkenaan, termasuk kedudukan Menteri Besar, pembentukan barisan Exco dan perjalanan persidangan DUN.

Kegagalan menyelesaikan krisis secara teratur, menurut komentar itu, berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan UMNO memenuhi komitmen kestabilan yang selama ini menjadi antara asas perjuangan politiknya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here