Syahredzan persoal tindakan UMNO kemuka calon MB ketika status Ismail belum jelas

NAIB Pengerusi DAP, Syahredzan Johan mempersoalkan tindakan UMNO mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sedangkan status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim masih dipertikaikan.

Ahli Parlimen Bangi itu turut membangkitkan persoalan sama ada UMNO cuba memperdayakan Tuanku Muhriz dan rakyat berhubung dakwaan Ismail sudah melepaskan jawatan berkenaan.

Menerusi hantaran di Threads, beliau berkata, kenyataan Ismail bahawa beliau tidak pernah menyerahkan atau bersetuju surat peletakan jawatannya dihantar menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu tidak pernah meletakkan jawatan.

HANTARAN Threads Syahredzan Johan

“Empunya badan tidak pernah hantar surat, tidak pernah bersetuju surat dihantar tetapi dijaja konon sudah melepaskan jawatan,” katanya dalam hantaran itu.

Syahredzan berkata, kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan surat peletakan jawatan berkenaan dihantar ke Istana Hinggap di Seremban, manakala beberapa pemimpin UMNO turut memberi gambaran Ismail sudah melepaskan jawatannya.

“Semua tindakan ini adalah berasaskan suatu perkara yang terbukti tidak benar. Datuk Ismail tidak pernah letak jawatan,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan UMNO mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu kepada Tuanku Muhriz sedangkan dakwaan peletakan jawatan Ismail masih belum dipastikan.

“Adakah UMNO cuba untuk memperdayakan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat dalam hal ini?,” katanya.

Syahredzan turut mengaitkan perkembangan itu dengan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan sebelum ini, sambil mempersoalkan sama ada UMNO sekali lagi cuba memperdayakan Tuanku Muhriz.

“UMNO perlu jawab!,” tegas beliau.

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas BN menerima salinan surat peletakan jawatan bertarikh hari sama yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 November memaklumkan surat berkenaan hanya diterima pada jam 12.16 tengah malam daripada seorang individu yang mendakwa mewakili sebuah firma guaman, selain ketulenannya masih belum disahkan.

Istana turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here