
KETIKA majlis menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini baginda telah dimaklumkan oleh Datuk Ismail Lasim bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu dan tidak bersetuju surat itu dihantar.
Sehubungan itu pihak Istana memutuskan Menteri Besar Negeri Sembilan itu perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Ismail juga diminta mengemukakan senarai Exco Kerajaan Negeri selepas melalui proses tersebut.
Berikutan keadaan itu, isu siapa Exco belum boleh diperbincangkan lagi, sebaliknya Ismail perlu membuktikan bahawa masih mendapat sokongan majoriti ADUN khususnya daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Kedudukan ketika ini ialah BN mempunyai 18 kerusi termasuk Ismail daripada 36 kerusi DUN manakala PN menguasai tujuh dan Pakatan Harapan (PH) memiliki 11 kerusi.
Sokongan terhadap Ismail tidak semestinya datang daripada BN-PN, beliau juga berhak mendapat sokongan daripada ADUN PH, tetapi apa yang rakyat mahu melihat apakan pendirian UMNO dalam soal ini.
Adakah pucuk pimpinan BN akan mengarahkan semua ADUN BN menyokong Ismail sebulat suara atau Ismail terpaksa minta sokongan ADUN PH untuk membolehkan beliau kekal sebagai Menteri Besar?
Penulis membangkitkan perkara ini kerana memahami kepimpinan BN-UMNO mungkin tidak selesa dengan tindakan Ismail memaklumkan kepada Tuanku Muhriz bahawa beliau tidak menandatangani surat meletak jawatan pada 16 November lalu.
Surat itulah yang diumumkan lebih awal oleh BN menyebabkan konflik di Negeri Sembilan menjadi bertambah rumit. Apatah lagi kenyataan media oleh BN dibuat sebelum surat berkenaan diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
Peletakan jawatan itu hanya sah jika diperkenankan oleh Tuanku Muhriz tetapi Istana belum mendapat surat tersebut tetapi BN bukan sahaja mengumumkan lebih awal (kononnya) Ismail sudah meletak jawatan tetapi juga mengemukakan satu nama calon bagi menggantikan beliau.
Bagaimanapun suasana menjadi ‘kelam kabut’ bila Ismail memberi isyarat beliau tidak menghantar surat berkenaan yang diketahui oleh media pada sebelah malam, atas sebab itulah pada sebelah siangnya Ismail menjalankan tugas Menteri Besar seperti biasa.
Apapun semua itu sudah menjadi catatan kronologi peristiwa soalnya apakah pendirian BN-UMNO terhadap arahan pihak istana bahawa Ismail harus membuktikan mempunyai sokongan majoriti ADUN? Adakah kepimpinan UMNO akan mengarahkan semua ADUN BN memberi sokongan kepada Ismail?
Kalau pucuk pimpinan parti mahu Ismail kekal, mereka memberi arahan terus kepada ADUN supaya memberi sokongan kepada beliau, jika mereka mengatakan menyerahkan kebijaksanaan ADUN BN membuat keputusan sah-sahlah ‘yang tersirat ialah jangan sokong Ismail’.
Apabila Ismail ‘disingkirkan’ secara terhormat oleh ADUN-ADUN BN sendiri, pucuk pimpinan akan ‘lepas tangan’ dengan mengatakan itu keputusan ADUN-ADUN berkenaan. Mungkin kita akan saksi sekali lagi episod ‘surat letak jawatan’ tetapi kali ini versi surat sokong atau tak sokong’ pulak.
Namun begitu penulis berharap kepimpinan BN-UMNO cukup-cukuplah berpolitik dengan mengambil langkah atau tindakan yang boleh memanjangkan lagi konflik di Negeri Sembilan.
Istana sudah menyatakan dengan jelas, Ismail perlu kemukakan bukti beliau ada sokongan ADUN, kemudiannya serahkan senarai calon Exco dan seterusnya bentang Belanjawan Negeri. Maknanya Istana tidak ada halangan jika Ismail terus menjadi Menteri Besar.
Oleh itu kepimpinan UMNO janganlah merumitkan lagi keadaan. Sudah tiga bulan pentadbiran Negeri Sembilan ‘huru-hara’, tak kanlah hanya kerana kejujuran Ismail berterus-terang beliau tidak membuat surat letak jawatan, beliau akan ‘dikorbankan’ oleh UMNO…apa dosa Ismail kalau itu yang mereka mahu lakukan?
Percayalah jika Ismail tersingkir kerana tidak mendapat majoriti sokongan ADUN BN, ia bukan sahaja akan memberi imej buruk kepada BN malah akan menyebabkan Pas perlu fikirkan semula kerjasama dengan UMNO. Ia kerana kalaulah pemimpin sendiri sanggup mereka singkirkan apatah lagi lagi pemimpin parti lain. Bagaimanapun penulis berharap UMNO tidak akan sampai ke tahap menyingkirkan Ismail.
Kepimpinan UMNO perlu memastikan semua ADUN BN menyokong Ismail begitulah juga tujuh calon PN, walaupun penulis dengar hubungan UMNO dengan Wawasan tidak begitu baik ketika ini. Itu kita cerita kemudian. Yang penting pastikan Ismail kekal, jika UMNO tidak mahu dipandang buruk oleh kawan dan lawan malah mungkin rakyat!





