
MALAM tadi 22 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dua ADUN Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) tidak hadir kerana berada di luar negara namun mereka menyatakan sokongan penuh atas apa juga keputusan perjumpaan itu.
Bagaimanapun individu yang menjadi punca mesyuarat itu diadakan iaitu ADUN Juasseh yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim tidak hadir. Tidak alasan diberikan. Namun penulis tertarik kata-kata Mohamad kepada media sebaik sahaja tiba di Wisma UMNO di Seremban untuk mempengerusikan mesyuarat itu, beliau berkata;
‘’Perjumpaan itu bertujuan merungkai segala masalah yang berlaku, termasuk isu jawatan Menteri Besar. Malaysia negara berperlembagaan. Negara yang ada undang-undang. Jadi semuanya mesti dilakukan dengan betul. Kalau buat secara tertib, saya rasa tak ada isu. Ikutlah tertib, jangan ambil jalan pintas,” katanya.
Persoalannya adakah kenyataan itu bermaksud, BN-UMNO tetap mahu Ismail berundur daripada jawatan Menteri Besar dan kali ini bukanlah lagi daripada surat yang beliau tidak setuju diserahkan kepada Istana sebaliknya lebih tertib sama ada melalui akaun bersumpah atau pengundian dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membuktikan beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ADUN.
Memiliki sokongan majoriti ADUN adalah prasyarat utama pihak Istana kepada Ismail bagi membolehkan beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar, kemudiannya melantik Exco Kerajaan Negeri dan membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027. DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 ADUN. BN (18), PN (7) manakala PH (11).
Justeru apabila Mohamad menyatakan, ‘’ Kalau buat secara tertib, saya rasa tak ada isu. Ikutlah tertib, jangan ambil jalan pintas..’’ …tidak keterlaluan kalau penulis katakan tidak mustahil Ismail akan menerima nasib seperti Datuk Seri Aminuddin Harun. Cuma kalau betul lah ia berlaku, maknanya UMNO ‘mencatatkan sejarah keunikan politik tersendiri’ kerana melakukan undi tidak percaya kepada pemimpinnya sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun ini mungkin sahaja satu andaian walaupun riak-riak sudah ada apabila Ismail tidak hadir ke mesyuarat berkenaan. Kalaulah mesyuarat tersebut bertujuan memberi sokongan kepada beliau pastinya ADUN Juasseh itu akan hadir .
Seperkara lagi, kalaulah mesyuarat itu memutuskan memberi sokongan padu kepada Ismail meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar pastinya Mohamad akan mengadakan sidang media dan mengumumkan keputusan berkenaan. Tetapi ia tidak berlaku mungkin BN-PN mahu ‘’..buat secara tertib…tak ambil jalan pintas’’. Mungkin mereka mahu memaklumkan kepada Istana terlebih dahulu keputusan mesyuarat tersebut, sebelum memberitahu Ismail.
Kalaupun BN-UMNO mahu menarik sokongan kepada Ismail, ia bukanlah satu kejanggalan. BN pernah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, BN pernah dianggap memberi tekanan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bubarkan Parlimen, mereka menarik sokongan terhadap Aminuddin di Negeri Sembilan sehingga DUN terpaksa dibubarkan dan sekarang walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH, BN bertembung dengan PH dalam PRN.
Jadi setakat mahu menarik sokongan terhadap Ismail sebagai Menteri Besar ‘…apa ada hal..’ Yang penting kalau itu dianggap oleh UMNO boleh menyelesaikan konflik Negeri Sembilan..silakan sahaja..Cuma pastikan pengganti yang dinamakan nanti tidak ada sekelumitpun masalah dengan istana…nanti jenuh pulak nak cari calon lain. Apapun sama-sama kita tunggu dengan penuh tertib apa keputusan mesyuarat BN-PN malam tadi, walaupun semua orang dah boleh agak apa hasilnya.





