Bencana: Maklumat kecemasan melalui SMS masih diteruskan – Fahmi

PENGGUNA telefon pintar yang tidak memenuhi spesifikasi minimum bagi sistem amaran awal bencana tidak akan tercicir daripada menerima maklumat kecemasan kerana pemakluman melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) masih diteruskan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata mekanisme penyampaian sedia ada yang dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tetap berjalan seperti biasa bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima amaran tepat pada masanya.

“Jadi, sistem pemakluman menggunakan SMS itu masih ada dan pihak NADMA memang boleh melaksanakan, sekarang pun memang boleh,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis penutupan Program MYReaders Lembah Pantai 2026, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Sistem Amaran Awal (EWS) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menggantikan mekanisme sedia ada, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap bagi memperkukuh penyampaian maklumat bencana kepada orang ramai.

Fahmi berkata di kawasan yang berdepan dengan risiko banjir, khususnya di pesisir jajaran sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memasang sistem siren amaran sebagai langkah kesiapsiagaan.

Pada 19 Nov lepas, MCMC meminta pengguna telefon pintar mengemas kini peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS, iaitu minimum peranti iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, selain telefon Android 12 atau versi terkini serta Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata sesi ujian awal EWS akan dilaksanakan secara khusus di Parlimen esok kira-kira 1.30 tengah hari.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memberikan peluang kepada Ahli-Ahli Parlimen melihat sendiri paparan notifikasi amaran di telefon bimbit masing-masing sebelum memaklumkan dan menjelaskan fungsinya kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Beliau berkata sesi ujian penuh sistem berkenaan pula dijadualkan berlangsung secara serentak pada 29 Nov ini di seluruh negara, dengan waktu pelaksanaannya akan disahkan dalam masa terdekat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here