SEMANGAT setia kawan yang menjadi asas kekuatan kerajaan Persekutuan hari ini perlu terus dihormati, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, Premier Sarawak itu mengingatkan parti-parti politik dari Semenanjung supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
“Kita (GPS) letakkan kerajaan pusat begitu kuat hari ini atas semangat setia kawan… kita berkehendakkan kestabilan politik negara. Negeri sudah stabil, jangan kacau kestabilan yang ada di Sarawak.
“Demokrasi memang (parti) boleh bertanding, tetapi sebelum bertanding, kira-kira (buat pertimbangan) dahulu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching hari ini.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata beliau menghargai pendirian parti yang telah menyatakan keputusan tidak bertanding pada PRN Sarawak, namun menegaskan GPS tidak akan berundur sekiranya dicabar.
Beliau turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan pertembungan atau perpecahan dalam politik sebagai petanda sikap progresif, sambil menegaskan perkara itu hanya mencetuskan perbalahan dan menyukarkan kerjasama pada masa depan.
Setakat ini, Barisan Nasional, PAS dan Amanah telah memutuskan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRN Sarawak ke-13.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Dis manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 28 Nov dan pengundian awal 8 Dis.





