MALAYSIA akan terus memperjuangkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan adil bagi memastikan setiap negara, tanpa mengira saiz ekonomi, mempunyai suara dalam menentukan hala tuju pembangunan rantau Asia Pasifik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama ekonomi serantau perlu berteraskan prinsip keadilan dengan kejayaan pertumbuhan ekonomi diukur berdasarkan manfaat yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pendirian itu ditegaskan ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 di Shenzhen, China, baru-baru ini.
Beliau berkata, manfaat perdagangan dan pelaburan perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan taraf hidup serta penyertaan masyarakat secara bermakna dalam kemajuan ekonomi.
“Malaysia akan terus memperjuangkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan adil, agar setiap ekonomi, besar mahupun kecil, mempunyai suara dan peranan dalam mencorak masa depan Asia Pasifik yang lebih terangkum dan saksama,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Shenzhen bermula 18 hingga 20 November lalu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2026.
Sepanjang lawatan itu, beliau turut menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC pada 18 November sebelum menyertai Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 pada 19 November yang dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping.
Persidangan tahun ini bertemakan Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together dengan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama, termasuk pengukuhan perdagangan pelbagai hala, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan mampan dan terangkum.





