SISTEM amaran kecemasan MySiren tidak menggunakan data internet atau mengenakan sebarang kos kepada pengguna ketika menerima amaran bencana menerusi telefon bimbit masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sistem itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran disampaikan secara langsung kepada telefon bimbit dalam kawasan geografi ditetapkan.
“Sistem ini tidak memakan apa-apa data ataupun kos kepada para pengguna.
“Kita cuma minta nanti aspek-aspek teknikal yang pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan jelaskan perlu disetkan dalam peranti masing-masing untuk memastikan amaran itu dapat diterima oleh telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi berkata, sistem itu menyampaikan amaran berdasarkan keberadaan telefon bimbit dalam kawasan liputan pemancar dan tidak memerlukan maklumat nombor telefon penerima.
“Berbeza dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), sistem ini menyalurkan amaran berdasarkan lokasi telefon bimbit. Jadi, semua telefon yang berada dalam kawasan berkenaan akan menerima amaran.
“Tiada maklumat yang dikutip melalui pelaksanaan sistem ini. Jadi, data pengguna selamat,” katanya.
Menurutnya, MySiren mampu menyampaikan maklumat dalam tempoh kurang daripada satu minit, berbanding penghantaran SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih.
Fahmi berkata, MCMC akan mengeluarkan panduan kepada pengguna telefon pintar Android dan iOS mengenai tetapan yang perlu diaktifkan bagi memastikan amaran MySiren dapat diterima.
Sistem MySiren mula beroperasi pada 19 November lalu dan akan diuji secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini, jam 10.10 pagi.





