MALAYSIA akan terus memperkukuh hubungan strategik dengan China berteraskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama tanpa tunduk kepada sebarang tekanan luar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu ditegaskan dalam pertemuan dua hala bersama Presiden China, Xi Jinping sebagai acara penutup lawatan rasmi beliau ke Shenzhen sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata, beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap kepemimpinan Xi yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap geopolitik dan tatacara dunia ketika ini.
Katanya, kebijaksanaan Presiden China itu dalam menguruskan hubungan antara kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara membangun turut menjadi antara perkara yang dihargai Malaysia.
“Saya menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Presiden Xi yang terus memainkan peranan penting dalam mencorak landskap geopolitik dan tatacara dunia (world order), khususnya kebijaksanaan beliau dalam mengemudi hubungan antara kuasa-kuasa besar serta memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun,” katanya dalam hantaran itu.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak APEC 2026 yang disifatkan berlangsung dengan cemerlang.
Beliau berkata, penganjuran itu memperlihatkan keupayaan China dalam pembangunan prasarana, kecekapan pentadbiran serta penyelarasan organisasi.
Lebih penting, katanya, pendekatan China yang memberikan penghormatan dan layanan saksama kepada semua negara tanpa mengira kekuatan ekonomi atau kedudukan geopolitik wajar dijadikan teladan dalam membina tatanan antarabangsa yang lebih adil dan bermaruah.
“Malaysia kekal teguh dengan pendirian untuk terus memperkukuh hubungan strategik bersama China, tanpa tunduk kepada sebarang tekanan luar, berteraskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama demi kemakmuran kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ini,” katanya.
Hubungan Malaysia-China terus menjadi antara komponen penting dalam kerjasama serantau, khususnya melibatkan perdagangan, pelaburan, pembangunan ekonomi dan kestabilan rantau Asia Pasifik.





