EMPAT lelaki warga Myanmar dipenjara enam bulan, manakala seorang lelaki tempatan didenda RM42,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan mengendalikan 4.84 tan minyak masak bersubsidi.
Hakim Ainul Bashirah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman penjara terhadap Tin Saw Oo, 21; Pyae Phyo Maung, 21; Ko Lin, 36; dan Kyaw San Linn, 37, bermula dari tarikh mereka ditahan pada 14 Julai lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Moo Teck Lim, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori, dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa secara bersama memiliki 4,845 kilogram minyak masak bersubsidi dalam keadaan menimbulkan syak munasabah dengan mengendalikan barang kawalan itu secara borong tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Pinggir Subang, Seksyen U5, kira-kira jam 3.30 petang pada 14 Julai lalu, lapor Buletin TV3
Mereka didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis berkenaan sebelum menahan kelima-lima lelaki itu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi.
Mereka dipercayai memindahkan minyak masak bersubsidi daripada paket ke dalam tong dengan cara menggunting paket berkenaan.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas 4,845 kilogram minyak masak, sebuah lori serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak daripada paket ke dalam tong.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM124,652.50.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Sallim Wahid, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.





