MALAYSIA dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk menerusi kerjasama tiga hala bersama Türkiye serta meneroka peluang kolaborasi dalam keselamatan maritim dan usaha membanteras keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Turus Tentera Darat merangkap Ketua Angkatan Pertahanan Pakistan, Field Marshal Syed Asim Munir.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Asim Munir atas pemasyhuran beliau ke dalam ‘Hall of Fame’ Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Malaysia.
Menurut Anwar, pertemuan itu turut membuka ruang pertukaran pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, termasuk ketegangan di Asia Barat serta kepentingan menjamin keselamatan maritim global.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk kami bertukar pandangan terkait perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, termasuk usaha meredakan ketegangan di Asia Barat, kepentingan menjamin keselamatan maritim global serta keperluan mengutamakan dialog dan kawalan diri dalam menangani ketegangan di sempadan, dengan menghormati kedaulatan negara dan melindungi orang awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Pakistan turut berkongsi komitmen untuk mengutamakan pendekatan diplomasi serta dialog dalam menangani sebarang ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan antarabangsa.
Anwar berkata, kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara juga penting dalam mendukung keamanan, kestabilan dan keselamatan bersama, khususnya di rantau ini.





