KERAJAAN tidak berhasrat mewujudkan syarat pelesenan khas kepada syarikat penyedia permainan dalam talian seperti yang dilaksanakan terhadap platform media sosial ketika ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sedang menjalankan kajian bagi menilai perkembangan risiko serta pendekatan kawal selia yang bersesuaian terhadap perkhidmatan permainan dalam talian.
Beliau berkata, kajian itu merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan.
“Selain itu, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) turut meneliti amalan antarabangsa sebagai sebahagian daripada penilaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Menurut Nie Ching, hasil kajian CMCF akan menjadi asas untuk menentukan keperluan memperkenalkan langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan yang sesuai dengan konteks Malaysia.
Penilaian itu turut mengambil kira perkembangan industri, risiko dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.
Nie Ching berkata, setakat ini CMCF telah mengadakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan (gaming subcode) sejak September lalu.
Katanya, rundingan itu membabitkan kumpulan kerja terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengendali platform, penyedia aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.
“Maklum balas yang diterima menerusi rundingan awam ini akan dipertimbangkan bagi menambah baik subkod tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sebarang keperluan menyemak semula peraturan sedia ada akan dinilai berdasarkan maklum balas pihak berkepentingan, perkembangan semasa, risiko dikenal pasti serta keberkesanan kerangka kawal selia ketika ini.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan kawal selia kekal relevan, berasaskan bukti dan seimbang dengan tahap risiko, selain mengutamakan keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak dan remaja.
Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan Kementerian Komunikasi berjumlah RM2.613 bilion bagi 2027 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 19 Ahli Parlimen.




