SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) belum dapat meneruskan siasatan berhubung dakwaan wujudnya kempen kecerdasan buatan (AI) untuk mempengaruhi pengundi Malaysia berikutan kegagalan firma teknologi Amerika Syarikat (AS), Anthropic memberikan maklum balas terhadap permohonan maklumat.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC memerlukan bahan bukti bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan menggesa Ahli Parlimen yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkannya kepada badan kawal selia itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat berhubung perkembangan siasatan yang sebelum ini dimaklumkan pada 11 November lalu, lapor FMT.
Wan Saiful turut mempersoalkan tindakan kerajaan berhubung dakwaan Anthropic bahawa terdapat pihak yang meminta sejuta tontonan palsu bagi akaun media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjawab perkara itu, Nie Ching menjelaskan isu pembelian tontonan palsu berkenaan adalah perkara berasingan daripada dakwaan kempen manipulasi pengundi yang sedang diteliti MCMC.
Beliau turut menjelaskan MCMC tidak menguruskan akaun media sosial Anwar.
Dalam laporan pada 10 September lalu, Anthropic memaklumkan pihaknya melumpuhkan sebuah platform manipulasi pilihan raya komersial yang didakwa menyasarkan rakyat Malaysia.
Operasi itu membabitkan kira-kira 1,000 akaun media sosial palsu, laman berita palsu dan dosier perisikan rekaan, selain menggunakan model AI Claude untuk membangunkan sistem memprofilkan serta menyasarkan pengundi mengikut kawasan pilihan raya.
Anthropic turut mendakwa terdapat pihak meminta sejuta tontonan palsu bagi akaun Anwar, namun tidak mengaitkan Perdana Menteri atau pejabatnya dengan permintaan berkenaan mahupun mengesahkan sama ada tontonan itu berjaya diperoleh.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, platform media sosial menurunkan sebanyak 202,402 hantaran berkaitan penipuan dan kandungan lain antara 1 Januari hingga 15 November lalu, hasil permintaan MCMC.
Jumlah itu katanya, meningkat sebanyak 31,769 hantaran dalam tempoh sebulan berbanding angka yang direkodkan pada 15 Oktober lalu.
Beliau berkata, siasatan kes penipuan dalam talian adalah di bawah tanggungjawab polis, manakala urusan mendapatkan semula wang yang hilang pula berada di luar bidang kuasa kementeriannya.
Sementara itu, Nie Ching berkata, dua filem Malaysia yang meraih kemenangan pada Anugerah Golden Horse di Taiwan, Ahad lalu, menerima keseluruhan RM2.6 juta dalam bentuk rebat kerajaan menerusi skim Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).
Beliau berkata, filem Sayang Sayang yang menyaksikan pelakonnya, Nandagopall Mohan memenangi anugerah Pelakon Baharu Terbaik, menerima rebat RM1.4 juta.
Manakala filem Dead Tide yang memenangi anugerah sinematografi dan lagu asal menerima RM1.2 juta menerusi skim kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).





