HASRAT seorang ibu menyediakan hidangan istimewa sempena sambutan hari lahir anaknya malam ini tidak kesampaian apabila wanita itu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat di Kangar petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Noryshah Umar, 47, yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum singgah membeli bahan masakan untuk menyediakan hidangan sempena hari lahir anaknya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZR dari arah Jalan Kampung Serdang menghala ke Kampung Tebuk Tengah.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan berlaku di laluan lurus satu lorong dua hala ketika cuaca baik dan permukaan jalan kering.
Motosikal mangsa turut mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan akibat rempuhan berkenaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat pada jam 9 malam ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.





